Anda di sini

Persiapan Program Sungkei Perdana berjalan lancar

Advertisement
 

SIBU: Persiapan Program Sungkei Perdana (berbuka puasa beramai-ramai) di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I pada 23 Mac ini berjalan lancar. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata persiapan dimulakan lebih awal memandangkan orang ramai menyertai program ala 'potluck' itu.

Beliau menganggarkan kira-kira 10,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I di sini meraikan program tersebut.

"Kami menjemput penduduk Sibu, baik Islam mahupun bukan Islam menyertai majlis berbuka puasa beramai-ramai ini.

"Seperti setiap tahun, kita solat Maghrib berjemaah dan pertandingan meriam buluh, anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Nangka dan Belia 1828," katanya di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata Program Sungkei Perdana adalah ciri-ciri perpaduan kaum dan keharmonian agama di Sarawak dan Sibu.

Beliau juga berharap cuaca baik pada hari penganjuran itu agar lebih ramai dapat menyertainya.

"Secara berasingan 'Program Ketuk Sahur' DUN Nangka telah dilaksanakan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hilir 1 Sibu.

"Ia melibatkan 11 JKKK dalam kawasan DUN Nangka, di mana lebih 500 rumah akan dikunjungi," jelasnya.
 

Advertisement