Anda di sini

Runtuhan tanah di Bali ragut nyawa dua pelancong asing

Advertisement
 

BADUNG: Dua pelancong asing termasuk seorang wanita Australia terkorban di pulau peranginan Bali di Indonesia selepas hujan lebat menyebabkan kejadian tanah runtuh yang menimbus vila mereka, kata seorang pegawai kelmarin.

Beberapa kawasan besar di kepulauan yang mempunyai 17,000 pulau itu adalah terdedah kepada banjir dan tanah runtuh semasa musim hujan yang bermula sekitar November.

Vila kayu di kampung Jatiluwih di pulau pelancongan terkenal itu dilanda bencana tanah runtuh pada pagi kelmarin selepas hujan lebat di kawasan itu pada malam sebelumnya, pegawai agensi mitigasi bencana tempatan I Nyoman Srinadha Giri memberitahu AFP.

Hujan lebat menghakis terusan air yang digunaan untuk pengairan terletak di atas vila dan mencetuskan tanah runtuh, membunuh dua orang, kata pihak berkuasa.

“Mangsa dikeluarkan dari bawah serpihan dalam posisi sedang  tidur. Terdapat seorang lelaki dan seorang wanita di atas satu katil,” katanya.

Mangsa wanita, 47, dilahirkan di Australia dan memegang permit penduduk tetap Amerika Syarikat, sementara kerakyatan dan identiti mangsa lelaki masih belum diketahui.

Mayat mangsa telah dipindahkan ke sebuah hospital di bandar utama wilayah Denpasar.

Tanah runtuh di Indonesia bertambah teruk di beberapa tempat akibat pemusnahan hutan, dengan hujan lebat berterusan menyebabkan banjir di beberapa tempat.

Tanah runtuh dan banjir berpunca daripada hujan lebat di pulau Sumatera pada minggu lepas mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang. — AFP

Advertisement