Anda di sini

Isu kemiskinan di Sabah, semua pihak perlu buta politik: Ronald

Advertisement
RONALD
RONALD

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menegaskan bahawa isu kemiskinan di Sabah memerlukan semua pihak 'buta politik'.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, isu kemiskinan adalah isu sosioekonomi yang merentas sempadan politik yang menuntut tanggungjawab semua pihak khususnya kerajaan untuk merangka strategi terbaik bagi membolehkan masyarakat dan negara keluar daripada kemiskinan.

Ronald mengakui bahawa Sabah ketinggalan berbanding negeri lain terutama dalam aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastruktur.

"Kadar insiden kemiskinan 1.2 peratus di Sabah, iaitu enam kali ganda lebih tinggi berbanding kadar nasional 0.2 peratus sebagaimana diumumkan Menteri Ekonomi perlu diterima dan dinilai secara matang.

"Namun, perlu dijelaskan bahawa kadar kemiskinan yang diumumkan kerajaan itu sebenarnya sudah jauh menurun.

"Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) merekodkan insiden kemiskinan di Beluran 12.1 peratus, tetapi kini turun kepada lima peratus, manakala Tongod yang juga daerah termiskin juga merekodkan penurunan ketara daripada 19.7 peratus kepada 5.9 peratus," katanya dalam kenyataan media di sini.

Bekas Menteri Pertanian Industri dan Makanan itu berkata, ahli-ahli Parlimen dari negeri ini secara berterusan memperjuangkan isu kemiskinan dan jurang pembangunan yang ketara antara Semenanjung dan Sabah di Dewan Rakyat.

"Kepada kerajaan, saya ingin tegaskan dalam isu kemiskinan ini perlu buta politik. Jangan mengamalkan politik dendam dengan mendiskriminasikan kawasan tertentu hanya kerana perbezaan politik.

"Usaha-usaha kerajaan terdahulu perlu diteruskan kesinambungannya dan ditambah baik melalui idea-idea baharu dengan tumpuan mesti diberikan kepada kawasan luar bandar," katanya.

Beliau berkata, keadilan sosioekonomi wajib dilaksanakan dengan pembangunan infrastruktur di lapan daerah di Sabah yang mencatatkan insiden kemiskinan tinggi mesti dipercepatkan.

"Berhentilah menuding jari. Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu fokuskan segala usaha secara bersama.

"Kepesatan ekonomi Sabah seperti yang sering dilaung oleh kerajaan negeri perlu dimanfaat oleh rakyat yang berada di luar bandar," katanya.

Advertisement