Anda di sini

Briged Al Quthuz rangkul Piala Pusingan Kelab Sukan Rekreasi OneHead Bintulu 2024 

Advertisement
Pasukan Briged Al Quthuz berserta piala dan hadiah yang dimenangi merakam gambar bersama Iskandar (tengah) dan ahli jawatankuasa penganjur.
Pasukan Briged Al Quthuz berserta piala dan hadiah yang dimenangi merakam gambar bersama Iskandar (tengah) dan ahli jawatankuasa penganjur.

BINTULU: Pasukan Briged Al Quthuz dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Piala Pusingan Kelab Sukan Rekreasi OneHead Bintulu 2024 pada hujung minggu lepas di Padang Turf BDA, Dewan Suarah Bintulu di sini.

Briged Al Quthuz meraih kejuaraan itu setelah menewaskan Landas Veteran 1-0 melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol pada masa penuh perlawanan dalam aksi final kejohanan itu pada Ahad.

Juara menerima hadiah berupa piala pusingan, piala, pingat dan wang tunai RM2,222 manakala naib juara membawa pulang hadiah piala, pingat dan wang tunai RM1,111.

Tempat ketiga bersama diraih oleh pasukan Leetonia Jr dan Ragas Pegait yang masing-masingnya membawa pulang hadiah berupa pingat dan wang tunai berjumlah RM777.

Majlis penyampaian hadiah kepada pasukan yang menang telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee yang turut menyaksikan perlawanan akhir kejohanan itu.

Hadir sama ahli jawatankuasa penganjur.

Sejumlah 16 pasukan menyertai kejohanan anjuran bersama Kelab Sukan Rekreasi OneHead Bintulu, Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) tersebut.

Pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada pasukan dari Kuching, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri dan Bintulu.

Kejohanan tersebut menyaksikan saingan pasukan-pasukan yang dibarisi para pemain veteran berpengalaman.

Advertisement