Anda di sini

Guru bukan sekadar mendidik tetapi ejen perubahan persiapkan pelajar depani cabaran global

Advertisement
Dr Sim bersama Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan yang lain merakam kenangan pada majlis Makan Malam Juh Berambeh Gerakan Massa #terimakasihcikgu di sini, malam Jumaat.
Dr Sim bersama Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan yang lain merakam kenangan pada majlis Makan Malam Juh Berambeh Gerakan Massa #terimakasihcikgu di sini, malam Jumaat.

KUCHING: Peranan guru kini bukan sekadar mendidik malah sebagai ejen perubahan yang akan mempersiapkan pelajar untuk mendepani cabaran era globalisasi, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, perubahan persekitaran pada masa ini menuntut warga pendidik untuk meningkatkan diri dengan kemahiran bagi bersaing dan bergerak seiring dengan dunia luar. 

“Apabila seluruh dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19 pada tahun 2020, situasi tersebut telah menunjukkan unsur-unsur 'Volatility, Uncertainty, Complexity and Ambiguity' (VUCA).  

"Begitu juga dalam pendidikan, saya percaya pentadbir, guru, murid dan juga, ibu bapa harus menghadapi perubahan itu yang datang dengan pantas.

“Sebagai contoh, dahulu pengajaran dan pembelajaran hanya berlaku di dalam bilik darjah dengan papan hitam dan guru sebagai sumber input utama. 

“Namun semasa pandemik, guru harus menguasai teknologi digital dengan proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) dilaksanakan secara dalam talian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian pada majlis Makan Malam Juh Berambeh Gerakan Massa #terimakasihcikgu di sini, malam Jumaat.

Oleh itu, Abang Johari berkata, pentingnya untuk guru meningkatkan kemahiran diri supaya dapat menyampaikan ilmu kepada pelajar khususnya dalam era globalisasi ini.

“Di samping itu, guru juga berperanan membantu membentuk sahsiah dan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar kerana merekalah yang akan meneruskan legasi kepimpinan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, pendidikan di Sarawak sedang mendepani pembangunan penting dalam usaha mencapai matlamat negeri maju seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. 

“Dalam hal ini, Sarawak sedang membangunkan ekosistem yang akan menarik industri baharu yang memberi tumpuan kepada data bank bertaraf antarabangsa, penciptaan kandungan digital serta peningkatan inovasi digital dan keusahawanan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada KPM yang mengambil langkah proaktif dalam mempercepatkan pembaikan, pembinaan semula dan menaik taraf sekolah usang di negeri ini.

Berkenaan majlis Juh Berambeh Gerakan Massa itu, Abang Johari meminta semua pihak untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan agenda pendidikan yang lebih baik demi kepentingan generasi masa depan.
 

  • oleh
  • Advertisement