Anda di sini

Kerajaan Sarawak sedia biaya pembinaan Pusat Kanser Sarawak dengan peruntukan pendahuluan RM1 bilion: Dr Sim

Advertisement
Dr Sim merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di HUS hari ini. Turut kelihatan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah. - Gambar Roystein Emmor
Dr Sim merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di HUS hari ini. Turut kelihatan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia membiayai pembinaan Pusat Kanser Sarawak dengan peruntukan pendahuluan RM1 bilion, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. 

Tawaran ini kata Dr Sim, adalah sebagai penyelesaian kepada isu kewangan yang dihadapi oleh kerajaan persekutuan untuk membiayai kos pembinaan pusat tersebut. 

"Sekarang terletak kepada Premier dan Perdana Menteri untuk membincangkan model kewangan bagi membiayai pembinaan Pusat Kanser ini.

"Jika persekutuan tidak ada duit, Premier kata Kerajaan Sarawak sediakan RM1 bilion. 

"Premier sudah melakukan yang terbaik, menawarkan peruntukan pendahuluan dan sudah tentu ia bukan percuma," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Ruang Foyer Rawatan Harian Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, hari ini. 

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah, Pusat Kanser itu penting sebab kanser adalah beban penyakit kedua terbesar selepas penyakit jantung. 

Oleh yang demikian katanya, Premier sangat menyokong pembinaan Pusat Kanser terbabit dan mahu ia direalisasikan semasa beliau masih memegang jawatan itu. 

"Saya rasa ini mesej yang sangat kuat, beliau (Premier) mahu Pusat Kanser ini siap semasa dia masih lagi memegang jawatan itu," katanya. 

Perdana Menteri kata Dr Sim, juga telah mengumumkan pusat itu di Parlimen, tetapi apa yang mahu dilihat ialah sesuatu berlaku dengan cepat. 

"Kos sebenar pusat ini bergantung kepada berapa katil dan apa peralatan yang kita mahu. 

"Tetapi sudah tentu kita mahu yang terbaik seperti Pusat Jantung Sarawak untuk rakyat," katanya. 

Menteri Kesihatan kata Dr Sim, juga bersetuju terdapat keperluan untuk Pusat Kanser di Sarawak dan masalahnya kini cuma dari aspek kewangan.
 

  • oleh
  • Advertisement