Anda di sini

Projek saluran paip gas Bintulu-Samalaju siap penghujung 2025

Advertisement
Abang Johari memotong kek sebagai simbolik sambutan Ulang Tahun Ke-10 Sakura Ferroalloys di Bintulu malam tadi.
Abang Johari memotong kek sebagai simbolik sambutan Ulang Tahun Ke-10 Sakura Ferroalloys di Bintulu malam tadi.

BINTULU: Projek pembinaan saliran paip gas Bintulu-Samalaju sepanjang 70 kilometer dijangka siap pada penghujung 2025,  kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Menurutnya, dengan siapnya saliran paip gas itu nanti dijangka akan meningkatkan pengagihan bekalan gas kepada pengguna di Taman Perindustrian Samalaju (TPS) termasuk stesen janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) yang kini sedang dalam pembinaan.

Ia juga katanya selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi meluaskan rangkaian liputan pengedaran gas asli bagi meningkatkan penggunaan gas di Sarawak.

"Dengan siapnya saliran paip gas itu nanti sudah tentu akan merangsang pembangunan perindustrian serta industri hiliran yang lain di TPS yang memerlukan bekalan gas," ujarnya.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Majlis Ulang Tahun Ke-10 Sakura Ferroalloys yang diadakan bertempat di Hotel Parkcity Everly Bintulu, di sini Selasa malam.

Bercakap mengenai perkembangan semasa projek perindustrian di TPS, Abang Johari berkata setakat ini, sebanyak RM111.73 bilion nilai pelaburan telah diluluskan yang mana sekitar RM12.07 bilion sudah peringkat pengeluaran komersil dengan menyediakan pekerjaan langsung 9,293 pekerjaan buat rakyat di negeri ini.

Bercakap mengenai perkembangan semasa projek perindustrian di Samalaju, beliau sebagai berkata bahawa terdapat beberapa buah lagi syarikat pelaburan yang sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan dan meratakan tapak projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM15.66 bilion.

"Ianya merupakan satu perkembangan yang positif dan memberansangkan sekali gus merealisasikan impian bagi menjadikan TPS sebagai sebuah kawasan perindustrian yang dinamik dan progresif pada masa hadapan," jelasnya.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar Sakura Ferroalloys meneruskan inisiatif bagi memajukan produk ferro mangan untuk dieksport ke seluruh negara.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar  Marzuki, Pengerusi Lembaga Pengarah Sakura Ferroalloys Sdn. Bhd. Bastiaan Hendrikus Van Aswegen dan Pengurus Besar Sakura Ferroalloys Sdn. Bhd. Juan Du Preez antara yang hadir.
 

Advertisement