Anda di sini

32 kakitangan SeDidik Sarawak terima sijil dan diploma

Advertisement
Nur Alina (dua kanan) menyampaikan sijil PPT kepada salah seorang kakitangan SeDidik Sarawak pada Majlis Konvokesyen di Auditorium Sarawak Skills pada 2 Mac lalu.
Nur Alina (dua kanan) menyampaikan sijil PPT kepada salah seorang kakitangan SeDidik Sarawak pada Majlis Konvokesyen di Auditorium Sarawak Skills pada 2 Mac lalu.

KUCHING: Seramai 32 kakitangan SeDidik Sarawak menerima sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen Pengiktirafan Penilaian Terdahulu (PPT) 2024 SeDidik Sarawak di sini.

Majlis yang berlangsung di Auditorium Sarawak Skills pada Sabtu (2 Mac) lalu menyaksikan mereka yang menerima sijil dan diploma itu telah menamatkan pengajian melalui program PPT.

Program PPT yang dikendalikan Sarawak Skills menunjukkan komitmen bagi mengiktiraf dan mengesahkan kemahiran serta pengetahuan yang diperoleh melalui pengalaman terdahulu. 

Inisiatif inovatif ini memberi peluang kepada individu untuk mempamerkan kecekapan mereka yang diperoleh daripada kerja, pengalaman hidup dan pembelajaran tidak formal dalam usaha meningkatkan prospek kerjaya dan pembangunan peribadi mereka.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua peserta dan pihak berkepentingan dalam menjayakan program PPT.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan pendidikan inklusif dan transformatif yang mengiktiraf kepelbagaian bakat dan pengalaman kakitangan kami,” katanya.

Teks ucapan Fatimah dibacakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Nur Alina Abdullah pada majlis konvokesyen tersebut.

Fatimah berkata, pengijazahan 32 kakitangan daripada program PPT menjadi bukti dedikasi SeDidik Sarawak terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan profesional. 

“Apabila individu ini memulakan bab seterusnya dalam kerjaya, mereka akan membawa bersama pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk membuat sumbangan bermakna kepada komuniti masing-masing dan seterusnya,” kata Fatimah.

Dalam kalangan graduan itu, tiga penerima telah menamatkan Tahap 3 dalam Pengurusan Asuhan dan Pendidikan Perkembangan Awal Kanak-Kanak manakala 29 menamatkan Tahap 4 dalam Pengasuhan dan Penyeliaan Perkembangan Awal Kanak-Kanak. 

Para peserta telah menjalani latihan yang ketat dan pengalaman praktikal dalam tempoh tiga bulan untuk Tahap 3 dan empat bulan untuk Tahap 4.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Sarawak Skills Mohd Asri Abdullah yang mewakili Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri dan Pengurus Besar SeDidik Sarawak Ayub Dahari.
 
Untuk maklumat lanjut mengenai Program PPT di Sarawak Skills, boleh hubungi Eksekutif Pembangunan Tenaga Kerja Mayliston Lennon Jacob di talian 013-8245113 atau e-mel [email protected].

Maklumat mengenai pelbagai program latihan juga boleh didapati dari laman web Sarawak Skills: sarawakskills.edu.my.
 

Advertisement