Anda di sini

125 orang sertai Program Kesedaran Alam Sekitar NREB di Lawas

Advertisement
Para peserta bersama dif-dif jemputan merakamkan  gambar kenangan pada Program Kesedaran Alam Sekitar di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada 4 Mac lalu.
Para peserta bersama dif-dif jemputan merakamkan gambar kenangan pada Program Kesedaran Alam Sekitar di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada 4 Mac lalu.

KUCHING: Seramai 125 peserta menyertai Program Kesedaran Alam Sekitar anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Cawangan Limbang di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada 4 Mac lalu.
 
NREB Sarawak dalam kenyataan berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Residen Lawas, Pejabat Daerah Lawas, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lawas, Jabatan Alam Sekitar Sarawak Cawangan Miri dan Pejabat Kesihatan Daerah Lawas.

Bertemakan ‘Larangan Pembakaran Terbuka dan Kesan Jerebu’, objektif penganjuran program untuk menggalakkan budaya kelestarian demi manfaat masa hadapan generasi di Sarawak.

Ia juga bertujuan memberikan kesedaran isu berkaitan pembakaran terbuka, implikasi terhadap alam sekitar dan kesan jerebu kepada kesihatan.

Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak Jack Liam menyeru penduduk Lawas agar bersama-sama memastikan kualiti udara sentiasa berkeadaan baik serta mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan keadaan berjerebu terutama pada musim kering berpanjangan atau musim kemarau.

“Jika pembakaran terbuka perlu dilakukan untuk tujuan aktiviti pertanian, para petani perlulah mendapatkan permit secra bertulis daripada Pejabat NREB yang berdekatan.

“Mereka dinasihatkan untuk lebih berhati-hati agar ianya tidak merebak sehingga tidak terkawal dan boleh menyebabkan berlakunya bencana jerebu,” katanya. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Controller Kanan Penny Sumok.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Lawas yang mewakili Residen Bahagian Limbang Joseph Ganang Surang, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lawas Azman Ibrahim dan Ketua Pejabat Jabatan Alam Sekitar Cawangan Miri Dr. Grace Puyang Emang. 
 

Advertisement