Anda di sini

Laksana nilai tambah, transformasi dalam industri getah

Advertisement
RIDUAN
RIDUAN

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengadakan nilai tambah dan transformasi dalam industri getah bagi memastikan harga komoditi itu lebih kompetetif.

Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata, kejatuhan harga getah sehingga kira-kira RM2.80 ketika ini mengakibatkan ramai penoreh getah enggan meneruskan pengusahaan tanaman ini sehingga beralih ke tanaman lain.

Katanya, keadaan ini mengakibatkan negara mengalami kerugian kira-kira RM2.3 bilion kesan daripada tiada output getah dihasilkan daripada ladang berkeluasan 425,000 hektar. 

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada harga getah yang dipengaruhi oleh orang tengah serta harga pasaran dunia yang sukar dikawal oleh kerajaan. 

"Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk memperkasa sektor industri pembuatan getah tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran tayar jenama tempatan sepertimana pelaksanaan dasar automotif negara yang berjaya menghasilkan Proton. 

"Usaha perlu dilakukan bagi menghasilkan tayar jenama tempatan bagi memastikan berlakunya ‘game changer’ atau pun transformasi industri getah agar ia terus kekal berdaya saing di peringkat global", katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Titah Ucapan Diraja pada Penggal Ketiga, Parlimen Yang Kelima Belas di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Riduan berkata, mekanisma yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah menerusi suntikan dana atau pinjaman pihak kerajaan kepada pengusaha industri dan pengeluaran produk berasaskan getah.

Katanya, perkara ini sudah dilaksanakan oleh Kerajaan Thailand pada 2016 menerusi pinjaman berjumlah 15 bilion bhat atau sekitar RM1.78 bilion berdasarkan kadar semasa pada waktu itu kepada sektor pembuatan sarung tangan, tayar dan produk getah. 

"Pinjaman ini diberikan dengan syarat pengusaha industri getah perlu menggunakan empat tan getah setiap tahun bagi satu juta bhat (RM119,000) dalam pinjaman mudah. 

"Saya percaya inisiatif seperti ini mampu meningkatkan penggunaan getah domestik dan secara tidak langsung berupaya meningkatkan harga getah kepada kadar yang lebih kompetetif,” katanya.

Katanya, sekiranya tiada tindakan segera, ia akan mengakibatkan industri itu terkubur suatu hari nanti, kesan daripada tindakan pekebun getah yang akan beralih kepada tanaman yang lebih menguntungkan.

  • oleh
  • Advertisement