Anda di sini

SEDC Energy bekerjasama dengan Sarawak Metro bangun Loji Hidrogen Rembus

Advertisement
Robert (dua kiri) bertukar dokumen dengan Mazli sambil disaksikan Abang Johari serta yang lain. Gambar UKAS 
Robert (dua kiri) bertukar dokumen dengan Mazli sambil disaksikan Abang Johari serta yang lain. - Gambar UKAS 

KUCHING: SEDC Energy memeterai kerjasama dengan Sarawak Metro untuk pembangunan Loji Hidrogen Rembus bagi menyokong Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS). 

Upacara pertukaran dokumen diadakan sempena Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu dianjurkan SEDC Energy dan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) sebagai menyahut seruan global memerangi perubahan iklim dan peralihan kepada tenaga mampan. 

Mewakili SEDC Energy bagi pertukaran dokumen itu ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya Robert Hardin manakala Sarawak Metro diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Ts Mazli Mustaffa. 

Pertukaran dokumen disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang hadir bagi menyampaikan ucaptama sekali gus merasmikan persidangan itu. 

Mengulas mengenai kerjasama itu, Robert berkata kerjasama rapat dengan Sarawak Metro ini adalah untuk memastikan kejayaan Projek KUTS. 

“Menjadi loji hidrogen pertama yang menyokong perkhidmatan pengangkutan awam di rantau ini akan ada banyak cabaran yang akan ditempuhi. 

“Tujuan KUTS adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan SEDC Energy berbangga untuk memainkan peranan untuk projek ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu dengan perjanjian ini, SEDC Energy akan bertanggungjawab membangunkan, membina, menugaskan, mengendalikan dan menyelenggara loji pengeluaran hidrogen dan stesen mengisi minyak.  

Kemudahan Loji dan Pengisi Minyak Hidrogen Rembus adalah untuk mengeluarkan, membekal, mengisi minyak dan mengedarkan hidrogen dan produk serta bahan yang berkaitan untuk sistem Transit Aliran Automasi (ART).

  • oleh
  • Advertisement