Anda di sini

Tiga premis hiburan diserbu, beroperasi lebih masa, tiada lesen

Advertisement
 Pasukan polis menjalankan proses dokumentasi di salah sebuah premis hiburan yang diserbu.
SERBU: Pasukan polis menjalankan proses dokumentasi di salah sebuah premis hiburan yang diserbu.

KOTA KINABALU: Polis menyerbu tiga premis hiburan di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu selepas didapati menjalankan operasi melebihi masa yang ditetapkan serta tidak mempunyai lesen sah untuk menjalankan perniagaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, polis turut menahan keseluruhan sembilan individu serta merampas pelbagai peralatan di dalam premis yang diserbu.

Katanya, serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan sepasukan pegawai dari Cawangan Siasatan Jenayah (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Bertindak dengan maklumat risikan, serbuan terhadap sebuah premis hiburan di Pusat Dagangan Donggongon, Penampang pada jam 1.30 pagi mendapati premis terbabit masih beroperasi dan terdapat 15 pelanggan termasuk empat wanita sedang berhibur di dalam premis berkenaan.

“Siasatan mendapati, premis berkenaan menjalankan operasi hiburan awam melebihi masa dan polis menahan dua pekerja serta tiga pelanggan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Turut dirampas beberapa barangan termasuk mixer, alat pembesar suara, mikrofon serta lesen perniagaan dan resit jualan minuman,” katanya ketika dihubungi di sini.

Azmi berkata, serbuan sebuah lagi premis di kawasan sama pada jam 4.36 pagi turut mengesan kegiatan pengusaha premis yang beroperasi tanpa lesen sah.

Katanya, DJ dan juruwang warga tempatan ditahan bersama rampasan beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan operasi hiburan di premis terbabit.

“Dalam satu lagi siri serbuan di KK Taipan Inanam, sebuah premis hiburan juga didapati beroperasi lebih masa pada jam 2.30 pagi dan dua pekerja turut ditahan bersama beberapa barangan didalam premis berkenaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada kegiatan penyalahgunaan dadah dikesan dalam kesemua premis yang diserbu berikutan hasil ujian urin terhadap 24 pekerja dan 64 pelanggan menunjukkan keputusan negatif.

“Kesemua suspek ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Ordinan Hiburan Awam 1958,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement