Anda di sini

Lebih 32,000 usahawan Terengganu dibantu agensi KUSKOP tahun lalu: Ewon

Advertisement
 Ewon bergambar bersama semasa perhimpunan bulanan terbabit.
KENANGAN: Ewon bergambar bersama semasa perhimpunan bulanan terbabit.

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi kementerian itu berjaya membantu lebih 32,000 usahawan Terengganu sepanjang tahun lalu.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua usahawan itu menerima pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank dan Bank Rakyat membabitkan dana pembiayaan sebanyak RM485.3 juta.

“811 usahawan juga menerima bimbingan dan latihan keusahawanan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“SME Corp. juga melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan dengan memberi manfaat kepada 469 usahawan menggunakan peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KUSKOP dan Agensi-Agensi Negeri Terengganu Tahun 2024, di Hotel Raia, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan)

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Zamri Salleh dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak.

Ewon berkata, dalam aspek koperasi Terengganu mempunyai 823 koperasi berdaftar setakat Disember 2023.

“Daripada jumlah itu sebanyak 58 koperasi baharu didaftarkan pada tahun lalu di Terengganu.

“21 koperasi juga menerima pembiayaan berjumlah RM28.3 juta bagi Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan 18 koperasi diluluskan pembiayaan bagi bantuan pembangunan koperasi dengan nilai RM1.3 juta.

“Berdasarkan pencapaian ini, saya sangat menghargai komitmen kakitangan dalam memastikan semua inisiatif dan bantuan usahawan serta koperasi dapat disampaikan dengan berkesan,” katanya.

Dari segi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu, Ewon berkata, sebanyak 37,598 pertubuhan PMKS direkodkan di negeri ini dengan 88 peratus daripadanya adalah usahawan mikro.

Advertisement