Anda di sini

Segama Mega Bazar CNY 2024 diadakan pada 8 Februari

Advertisement
 Christina (kiri) dan Sabin menjemput warga Bandaraya Kota Kinabalu datang memeriahkan Segama Mega Bazar sempena Tahun Baharu Cina 2024.
BAZAR: Christina (kiri) dan Sabin menjemput warga Bandaraya Kota Kinabalu datang memeriahkan Segama Mega Bazar sempena Tahun Baharu Cina 2024.


KOTA KINABALU:  Segama Mega Bazar sempena Tahun Baharu Cina 2024 akan diadakan pada 8 Februari ini pada jam 1 petang sehingga 12 tengah malam bertempat di Segama.

Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, orang ramai dijemput datang beramai-ramai pada bazar berkenaan.

Katanya, sebanyak 350 gerai akan dibuka dan persembahan juga turut diadakan sebagai tarikan ke bazar berkenaan.

"Tahun Baharu Cina adalah perayaan yang sememangnya tidak asing lagi kepada semua lapisan rakyat di Sabah, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

"Kerjasama diantara kementerian dan DBKK sudah pasti akan memperkasakan lagi program ini, sekali gus mampu dijadikan sebagai tarikan kepada pengunjung tempatan serta para pelancong.

"Kami mahu memperkenalkan perayaan ini disambut secara unik dan diterima oleh semua lapisan masyarakat di Sabah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bazar yang diadakan di Jalan Segama sudah pasti akan menjadi penganjuran bazar terbesar tahun ini.  Program ini turut melibatkan acara tarian singa, naga, persembahan tarian, nyayian, cabutan bertuah dan banyak lagi.

Katanya, acara kemuncak adalah memperkenalkan inisiatif 'Discover Sabah Digital' 2024, iaitu satu pelan strategik untuk mengangkat pelancongan Sabah ke tahap yang lebih tinggi menerusi pendekatan digital. Inisiatif ini dibangunkan berikutan kejayaan 'Dec-Cover Sabah' 2023.
Bazar berkenaan akan dirasmikan bersama oleh Christina dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
 

  • oleh
  • Advertisement