Anda di sini

Penunggang maut, isteri parah motosikal bertembung kereta

Advertisement
 Pegawai perubatan KKM yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan parah.
MAUT: Pegawai perubatan KKM yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan parah.

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing maut, manakala isterinya parah setelah motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Gomak, Taman Sutera, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.53 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal telah bertembung dengan kereta di laluan bertentangan.

“Mangsa yang menunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya pula mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, mayat penunggang motosikal terbabit diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Isterinya pula diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS, sebelum dibawa ke Hospital Semporna menggunakan ambulan, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.12 pagi,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement