Anda di sini

Kereta rempuh motosikal dan rumah, lapan mangsa cedera 

Advertisement
 Kereta mangsa yang terbabas merempuh sebuah rumah dan mengakibatkan dua penghuni rumah itu mengalami kecederaan ringan.
KEMALANGAN: Kereta mangsa yang terbabas merempuh sebuah rumah dan mengakibatkan dua penghuni rumah itu mengalami kecederaan ringan. Gambar ihsan PGO JBPM Negeri Sabah

TAMBUNAN: Seramai lapan individu mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal sebelum kejadian rempuhan sebuah rumah di Kampung Dalab Pantai dekat sini semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, kesemua mangsa membabitkan enam lelaki dan dua perempuan berumur dalam lingkungan 4 hingga 48 tahun.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.05 malam.

Katanya, kereta terbabit melanggar dua motosikal sebelum terbabas dan merempuh sebuah rumah di kawasan terbabit.

"Akibatnya, sebuah bilik mengalami kerosakan dan dua penghuni di rumah itu lelaki dan wanita kedua-duanya berumur 48 tahun turut dilaporkan cedera ringan.

"Kedua-dua penunggang motosikal lelaki berumur 19 tahun mengalami kecederaan manakala empat mangsa dalam kereta termasuk dua kanak-kanak lelaki dan perempuan mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, rawatan awal dijalankan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Pihaknya menamatkan operasi pada jam 10.22 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
 

  • oleh
  • Advertisement