Anda di sini

Najib dibebaskan Ogos 2028, denda dikurangkan kepada RM50 juta

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 susulan keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya membuat keputusan itu dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Jan lepas. 

Kenyataan yang dikeluarkan Urusetia Lembaga Pengampunan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri hari ini memaklumkan, denda yang perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun, dengan tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029.

Kenyataan itu juga memaklumkan lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan itu yang dipengerusikan oleh  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lepas.

Najib, 70, yang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 Sept 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12  tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan. 

Najib gagal mengetepikan sabitan dan hukuman itu selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 menolak rayuan akhir beliau dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara berkuat kuasa pada hari sama.

Sebelum itu, Najib memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, dan mahkamah itu pada 8 Disember 2021 menolak rayuannya, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara berkenaan. Pada 6 September 2022 pula bekas Menteri Kewangan itu memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Pada 31 Mac 2023, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya itu dan jalan akhir untuk beliau dibebaskan adalah menerusi pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini Najib sedang dibicarakan bagi kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dan pihak pendakwaan telah memanggil 49 saksi.

Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada Jun 2024 di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Beliau juga menghadapi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta di Mahkamah Tinggi di sini dan kes itu masih belum dibicarakan.

Hakim K.Muniandy pada 19 Januari lepas berkata sekiranya pihak pendakwaan tidak dapat meneruskan kes pada 17 September ini, pihak pembelaan bebas untuk memohon perintah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau dibebas dan dilepaskan (DAA) berikutan representasi dikemukakan Najib.- BERNAMA 
 

Advertisement