Anda di sini

Ahli koperasi perlu tingkat ilmu agar dapat bersaing dengan industri lain: Willie

Advertisement
Willie bersama Mohd Zaib (kiri) melihat antara produk yang dijual ahli koperasi semasa program MASKOP MADANI di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Willie bersama Mohd Zaib (kiri) melihat antara produk yang dijual ahli koperasi semasa program MASKOP MADANI di BCCK, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Ahli-ahli koperasi di negeri ini digalak untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan khasnya dalam teknologi dan kepimpinan strategik baharu agar dapat bersaing dengan industri lain.

Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Willie Mongin berkata, jika dibandingkan dengan negara di barat, Malaysia khasnya Sarawak mempunyai sumber alam semula jadi dan perdagangan yang banyak serta berpotensi untuk diteroka.

Katanya ia termasuk perniagaan produk pertanian dan sektor lain yang belum lagi diterokai termasuk tenaga boleh diperbaharui.

“(Negara kita dan barat) ada bezanya. Bezanya adalah cara kita berfikir, budaya kerja serta cara kita menggunakan teknologi.

“Saya menggesa agar semua ahli-ahli koperasi untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan supaya terdedah kepada teknologi baharu, kepimpinan strategik baharu dan cara membuat perniagaan yang lebih strategik. 

“Dengan itu, kita boleh bersaing. Kita bukan sahaja bersaing dengan pesaing dalam industri yang sama, malah kita mampu untuk bersaing dengan pesaing dari dalam negeri mahupun luar negara,” katanya.

Ahli Parlimen Puncak Borneo itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MASKOP MADANI IKMa Zon Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa Mohd Zaib Yunus dan Pengurus Perbankan Perniagaan Sarawak Bank Rakyat Meor Muhammad Khalis Zulkifli.

Willie berkata, banyak ahli koperasi di negara ini mempunyai potensi yang tinggi dan mampu membayar dividen tinggi, namun jumlah yang berjaya dan aktif amat rendah. 

“Saya berharap agar koperasi di seluruh Malaysia khasnya di Sarawak dapat meningkatkan usaha kerana kebanyakan koperasi yang telah mendaftar memang banyak tetapi yang aktif tidak begitu ramai. 

“Saya menggesa serta mencabar mereka yang ingin menubuhkan koperasi atau yang sudah ada tetapi tidak aktif, anda perlu mencari satu produk perniagaan yang membolehkan koperasi anda aktif serta menambah pendapatan,” katanya.

Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) MADANI 2024 merupakan inisiatif IKMa untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan koperasi dalam membangunkan ekonomi komuniti dan negara.

“Program ini dapat mempromosikan kelebihan dan keistimewaan koperasi kepada masyarakat serta menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.
 

Advertisement