Anda di sini

Pertumbuhan kanak-kanak harus dikembangkan, tidak wajar terhad

Advertisement
Ting (dua kiri) menyampaikan sijil apresiasi kepada kanak-kanak pada Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Lanang sesi 2023/2024 di Sibu hari ini.
Ting (dua kiri) menyampaikan sijil apresiasi kepada kanak-kanak pada Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Lanang sesi 2023/2024 di Sibu hari ini.

SIBU: Pertumbuhan kanak-kanak seharusnya dikembangkan dengan pelbagai potensi dan tidak sewajarnya terhad dalam aspek pencapaian akademik semata-mata. 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing bagaimanapun berkata, tidak dinafikan pencapaian dan kecemerlangan akademik sangat penting. 

"Namun, membekalkan mereka dengan pembinaan sahsiah peribadi juga tidak kurang pentingnya. 

"Oleh itu, sejak mereka kecil kita perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka," katanya berucap pada Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Parlimen Lanang bagi sesi 2023/2024 di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh wakilnya, Kaunselor Joshua Ting selaku mewakilinya menyempurnakan majlis tersebut.

Beliau juga berpendapat kesempurnaan dalam pendidikan mampu menjadikan masyarakat sempurna dalam kehidupan. 

Oleh yang demikian, beliau menggesa anak-anak menghormati guru, ibu bapa serta orang lebih tua daripada mereka.

Mengenai majlis itu, Ahli Parlimen Bintulu itu percaya majlis apresiasi itu selari dengan matlamat dan tujuan memberi dorongan serta motivasi kepada anak-anak agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam apa juga bidang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berharap majlis tersebut dapat dijadikan asas permulaan dalam menjana modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

"Sekalung tahniah diucapkan kepada kanak-kanak cemerlang yang turut menerima anugerah mereka pada hari ini. 

"Andalah contoh generasi awal berjaya serta menjadi teladan kepada rakan-rakan lain. Saya doakan semoga kejayaan anak-anak itu memberi inspirasi untuk mereka terus maju sehingga dewasa," jelasnya. 

Seramai 263 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Lanang diraikan pada majlis tersebut.

Hadir sama Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Anisah Saidin, Pegawai KEMAS Bahagian Sibu Ami Fariza Mat Jusoh dan wakil Pengerusi Tabika KEMAS Parlimen Lanang ASP Mohd Faizul Samsudin.
 

  • oleh
  • Advertisement