Anda di sini

Lelaki tidak mengaku mencuri, salah guna dadah

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencuri beberapa aksesori kereta dan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Nicholas Jefrie, 30, dari Kampung Piasau Utara di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa melakukan kecurian dengan mencuri beberapa aksesori kereta iaitu satu unit radio kereta jenama Kenwood dan dua unit monitor kereta kepunyaan Ng Giap Seong, 47.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 pagi, 12 Januari lalu di The Jong Motor Service, Jalan Piasau Utara 3C di sini.
    
Sementara dalam kes kedua, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 petang, 20 Julai 2019 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
    
Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari depan untuk pengurusan kes.
    
Sementara itu, tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan 3,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

  • oleh
  • Advertisement