Anda di sini

KUSKOP lancar Karnival PROTÉGÉ dan SEMBANG PROTÉGÉ X KRU

Advertisement
 Ewon (dua kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima ketika di majlis itu.
SERAH: Ewon (dua kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima ketika di majlis itu.


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melancarkan dua program iaitu Karnival PROTÉGÉ @ KUSKOP Tahun 2024 dan Program SEMBANG PROTÉGÉ X KRU yang akan dilaksanakan dengan kerjasama KRU Studios. 

Karnival PROTÉGÉ @ KUSKOP di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merupakan permulaan kepada enam siri karnival yang akan diadakan di seluruh negara iaitu di Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur dan Zon Borneo.

Tujuan karnival ini adalah untuk menguar-uarkan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh KUSKOP di bawah PROTÉGÉ (Professional Training and Education For Growing Entrepreneurs). 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh PROTÉGÉ dengan sasaran seramai 76,690 graduan dan mahasiswa.

Karnival PROTÉGÉ @ KUSKOP merupakan kick-start bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dirancang pada tahun 2024. 

Program keusahawanan yang akan dilaksanakan adalah Program Latihan Intensif dalam Talian bagi Usahawan Generasi Baharu                  (N-GENE), Program Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan TVET (GRACE), Program Usahawan Perantis (SPACE), Program Pensijilan Profesional Graduan TVET, Seminar Keusahawanan Mahasiswa, Program Usahawan Siswazah (PUSh) dan Program Kembara Kerjaya (ROAD).

Selain itu, KUSKOP juga akan meneruskan Program Penempatan Latihan Kerjaya Graduan Bersama Industri atau lebih dikenali sebagai program PROTÉGÉ Ready To Work (PROTÉGÉ-RTW) yang merupakan platform kepada graduan untuk membina kerjaya impian. 

Program-program yang disediakan ini diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran dan memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan dan mahasiswa. 

Pelaksanaan enam siri Karnival PROTÉGÉ @ KUSKOP ini mensasarkan seramai 9,000 pengunjung di mana maklumat berkaitan program-program PROTÉGÉ akan disampaikan melalui sesi taklimat dan pameran kepada graduan, mahasiswa, usahawan dan orang awam. 

Selain itu, terdapat juga sesi temu duga kepada graduan yang sedang mencari peluang pekerjaan.

Karnival ini akan turut memberi peluang kepada usahawan tempatan membuka reruai dan food truck menjual pelbagai jenis makanan, minuman serta produk PMKS. 

Karnival PROTÉGÉ @ KUSKOP dilaksanakan dengan kolaborasi strategik bersama kementerian dan agensi lain seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta PERKESO. 

Graduan dan mahasiswa daripada Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta usahawan graduan di sekitar Lembah Klang turut hadir ke program anjuran KUSKOP. 

Ewon dalam pada itu, turut melancarkan program baharu PROTÉGÉ iaitu Sembang PROTÉGÉ X KRU yang merupakan program bual bicara santai secara dalam talian. 

Program ini akan dilaksanakan dengan penglibatan usahawan berjaya dan ahli perniagaan yang berkaliber bagi membincangkan elemen yang penting dalam membangunkan sesebuah perniagaan, khususnya kepada para graduan.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyempurnakan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada 15 usahawan graduan yang telah menyertai Program N-GENE dan Program SPACE serta 10 Syarikat Pelaksana Program PROTÉGÉ-RTW dan Syarikat Anchor Program GRACE. 

Turut hadir bersama di majlis perasmian adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan, dan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad.

Advertisement