Anda di sini

CBP rasmi pembukaan cawangan Matang Jaya, ketiga di Sarawak

Advertisement
Hidayah (tiga kanan) merakamkan gambar di cawangan baharu CBP di Matang Jaya. Turut kelihatan, Amran (dua kanan), Hilmi (kanan) serta yang lain.
Hidayah (tiga kanan) merakamkan gambar di cawangan baharu CBP di Matang Jaya. Turut kelihatan, Amran (dua kanan), Hilmi (kanan) serta yang lain.

KUCHING: Co-opbank Pertama (CBP) hari ini merasmikan pembukaan cawangan ketiganya di Sarawak, terletak di Matang Jaya di sini dan yang ke-33 di Malaysia. 

Perasmian cawangan yang juga kedua di Kuching itu disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Amran Abd Kadir. 

Hadir sama Timbalan Pengerusi CBP Nor Hidayah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Annuar, Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman serta yang lain. 

Hidayah berkata, dengan pembukaan cawangan baharu itu, beliau yakin CBP berada di landasan yang betul untuk menjadi Co-opbank patuh syariah yang terunggul di negara ini. 

"Dengan pengurusan dan kakitangan yang terlatih, saya percaya cawangan ini bersedia untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang terbaik di Kuching serta kawasan sekitarnya," katanya. 

Ujar Hidayah lagi, CBP menawarkan pelbagai produk seperti Ar-Rahnu, Syer Keanggotaan, Deposit atau Simpanan, Pembiayaan kepada Individu, Koperasi dan Syarikat Korporat serta Perumahan dan Hartanah bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat. 

Lebih menarik kata Hidayah, setiap produk dan perkhidmatan perbankan yang ditawarkan adalah patuh syariah yang boleh dilanggan oleh semua lapisan masyarakat. 

"Saya juga ingin katakan dengan pembukaan cawangan baharu ini, ia merupakan salah satu strategi CBP untuk mengembangkan perkhidmatan perbankan terus kepada penduduk di Kuching yang luas selain memudahkan pelanggan sedia ada untuk berurusan dengan CBP," katanya. 

Sempena pembukaan cawangan baharu itu, Hidayah turut menggalakkan penduduk Kuching serta kawasan sekitar tidak kira sama ada individu atau koperasi untuk menjadi anggota CBP dengan jumlah minimum RM1,000 bagi individu dan RM5,000 bagi koperasi. 

CBP kata Hidayah, juga akan memberikan pulangan dividen dan manfaat-manfaat yang kompetitif sama seperti institusi perbankan yang lain. 

Ujarnya lagi, CBP telah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang 74 tahun penubuhannya daripada sebuah koperasi kecil kepada sebuah co-opbank yang terunggul di negara ini setelah dinobatkan sebagai salah satu Koperasi Premier Malaysia selama tiga tahun berturut-turut oleh SKM. 

Dalam pada itu, pembukaan cawangan CBP ketiga di Kuching hari ini juga diadakan serentak dengan pembukaan cawangan di Sandakan, Sabah. 

CBP turut menyasarkan untuk membuka sebuah lagi cawangan di Papar, Sabah pada suku ketiga tahun ini dan Jerteh, Terengganu pada tahun ini dan sasaran CBP adalah untuk membuka 36 cawangan di seluruh negara. 
 

  • oleh
  • Advertisement