Anda di sini

Keyakinan, ilmu penting sebelum sertai sesuatu pertandingan: Nurel Baharin

Advertisement
Nurel (dua kiri) bergambar bersama abangnya Zuraidy Baharin (kiri), Zeti Safrina (ibu) dan kakak Nurdiyana Baharin (kanan) setelah tiba di LTAK di sini pada malam Khamis. – Gambar Chimon Upon
Nurel (dua kiri) bergambar bersama abangnya Zuraidy Baharin (kiri), Zeti Safrina (ibu) dan kakak Nurdiyana Baharin (kanan) setelah tiba di LTAK di sini pada malam Khamis. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Anak kelahiran Sarawak Nurel Baharin, yang merupakan pemenang Dewi Remaja 2023, menekankan betapa pentingnya mempunyai keyakinan dan ilmu sebelum menyertai sesuatu pertandingan seperti Hero Dewi Remaja.

Nurel berkata selain dua perkara itu, antara yang perlu diambil kira sebelum menyertai pertandingan sedemikian adalah sedikit pengalaman dalam bidang seni.

Menurutnya, pengalaman dan ilmu dimiliki tidak perlu secara mendalam, cukup membabitkan yang asas.

”Memiliki ilmu adalah penting supaya anda tidak memasuki pertandingan dengan tangan kosong. Sekiranya mempunyai sedikit ilmu berkaitan, anda akan berupaya melaksanakan tugas diberi oleh para juri. 

”Ilmu dimiliki tidak perlu sempurna, namun sekurang-kurangnya mencakupi perkara asas. Manfaatkan juga platform seperti Google,”ujarnya ketika ditemui media apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada malam Khamis.

Nurel atau nama sebenarnya Nurelyana Baharin, 21, merupakan individu pertama dari negeri Bumi Kenyalang yang berjaya merangkul jolokan Dewi Remaja 2023 dan ‘Dewi Favourite’, baru-baru ini.

Juara Hero Remaja 2023 pula menjadi milik Aiman Ameer. Aiman dan Nurel masing-masing membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berhumlah RM10,000 dan trofi. 

Mengulas lanjut Nurel menambah, dengan adanya ilmu dan pengalaman di dada, cabaran dihadapi beliau ketika menyertai pertandingan Hero Dewi Remaja dapat diatasi dengan baik. 

Nurel ketika ditemu bual pengamal media setibanya di LTAK di sini pada malam Khamis. – Gambar Chimon Upon
Nurel ketika ditemu bual pengamal media setibanya di LTAK di sini pada malam Khamis. – Gambar Chimon Upon

Menurutnya, segala cabaran diberikan kepadanya dalam pertandingan tersebut boleh dikatakan menyerupai perkara yang dipelajari beliau ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

Untuk rekod, anak bongsu dari empat beradik itu merupakan pelajar jurusan Persembahan Teater di UiTM Puncak Perdana. Selain itu, gadis kelahiran Kuching itu juga sudah lama berkecimpung di dalam bidang seni, iaitu sejak beliau berusia lebih kurang sembilan tahun.

”Tidak dinafikan bahawa terdapat tugasan dalam pertandingan tersebut agak mencabar, apatah lagi apabila dikehendaki melakukan tugasan bersama peserta-peserta lain yang kesemuanya berbakat. 

”Bagaimanapun saya sudah membuat sehabis baik dan menerapkan segala ilmu dipelajari dalam setiap tugasan diberikan. Bagi saya, antara tugasan agak mencabar adalah yang membabitkan bisnes. 

"Perkara yang saya pelajari adalah perlunya pengetahuan mengenai bisnes, sekurang-kurangnya perkara asas kerana anak-anak seni perlu mempunyai kaedah tersendiri untuk mengangkat nama ke peringkat lebih tinggi. Alhamdulillah juga, saya berjaya melaksanakan tugas diberikan dengan baik,” jelasnya.
 
Nurel dalam pada itu turut meluahkan rasa gembira beliau apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan yang diminatinya sejak dulu lagi. 

Beliau memaklumkan, walaupun mempunyai minat dan keinginan mendalam untuk menyertai pertandingan itu, beliau rela menangguhkan sebentar niatnya kerana berhasrat hendak menimba ilmu dan menamatkan pelajaran terlebih dahulu. 

Bahkan ibunya, Zeti Safina, turut menasihati Nurel agar mengejar ilmu dan mengutamakan pendidikan sekiranya mahu melibatkan diri secara serius dalam bidang seni. 

”Selagi saya berasa tidak mempunyai ilmu (yang cukup) selagi itulah saya tidak berani (mengikuti pertandingan ini). Justeru apabila sudah tamat belajar, saya dengan serta merta menghadiri uji bakat Dewi Remaja. 

”Pada waktu itu juga, saya tidak menyangka saya akan menang. Saya juga pernah memaklumkan kepada keluarga bahawa sekiranya saya menang, saya akan membuatkan rakyat Sarawak bangga. Alhamdulillah, (kini) saya berasa sangat gembira and bangga akan kemenangan ini,”katanya. 

Ketika ditanya mengenai hala tuju beliau selepas dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2023, Nurel mengatakan beliau kini ditawarkan kontrak berkhidmat dengan Astro, dengan segala kerja masih berada di dalam perancangan serta perbincangan. 

”Nanti (kita) lihat perkara yang Astro akan tentukan untuk Hero dan Dewi Remaja. Kesemua Hero dan Dewi mendapat kontrak dengan Astro, namun (kontrak) untuk tempoh beberapa lama atau beberapa tahun (adalah) dirahsiakan. 

”Untuk projek, kita masih berbincang (mengenainya). Setiap seorang mempunyai tugas masing-masing dan semua (maklumat selebihnya) adalah sulit. Namun secara asasnya, ia melibatkan (kerja-kerja) berlakon dan mengacara,” katanya lagi. 

Portal Remaja dipetik sebagai berkata, buat pertama kali sepanjang 38 tahun penganjuran Dewi Remaja dan Hero Remaja, pencarian bagi 2023 digabungkan menjadi satu dengan dua pemenang dinobatkan. 

Menurut portal Remaja juga, kedua-dua pencarian ini menjadi platform kepada golongan remaja untuk mengukuhkan kedudukan sebagai bakat baharu. 

Ia terutamanya dalam industri seni, bidang kerjaya yang diminati sebagai pempengaruh dunia digital serta menjadi contoh yang memberikan inspirasi positif kepada masyarakat secara amnya.  
 

  • oleh
  • Advertisement