Anda di sini

Remaja mengaku rogol kekasih berusia 12 tahun ketahui nasib pada 8 Februari

Advertisement
 

KUCHING: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kekasihnya yang berusia 12 tahun.

Tertuduh berusia 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 2.30 pagi di sebuah flat di Jalan Matang di sini pada 10 Disember 2023.

Difahamkan, mangsa memaklumkan kepada neneknya (pengadu) bahawa dia telah melakukan hubungan seksual dengan teman lelakinya (tertuduh) pada tarikh tersebut.

Pengadu kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 8 Februari 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement