Anda di sini

Lanskap ekonomi penduduk Kadamaian bakal berubah

Advertisement
 Ewon (tiga kiri) dan Zahid (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan ketika di majlis berkenaan.
KENANGAN: Ewon (tiga kiri) dan Zahid (tiga kanan) merakamkan gambar kenangan ketika di majlis berkenaan.


KOTA BELUD: Kerja-kerja menaik taraf jalan luar bandar Kadamaian akan mengubah lanskap aktiviti ekonomi penduduk di kawasan ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, antara usaha itu ialah naik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas dan Jalan Sayap-Mansulit kini sedang dilaksanakan.

"Manakala, Jalan Tambulaung-Podos kini dalam proses pelantikan kontraktor. Projek jambatan konkrit Kg Kaung Ulu juga sedang dalam proses perlantikan kontraktor.

"Begitu juga dengan Jalan Mandap-Doluoh-Kinasaraban. Pelaksanaan projek penaiktarafan jalan-jalan ini menyerlahkan lagi kejayaan Pelan Pembangunan Kadamaian.

"Saya yakin apabila siap kelak ia akan mengubah landskap aktiviti ekonomi penduduk Kadamaian terkenal dengan perusahaan eko-pelancongan selain aktiviti pertanian," katanya pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ewon berkata, Kadamaian mempunyai 130 eko pelancongan komuniti dan 117 homestay atau inap desa yang diusahakan penduduk kampung. 

Katanya, penaiktarafan jalan-jalan utama di kawasan ini bukan sahaja memudahkan penduduk kampung memasarkan hasil pertanian mereka tetapi juga akan memberi keselesaan kepada para pelancong yang berkunjung ke Kadamaian.

Bagaimanapun katanya, usaha itu harus diteruskan dan perlu dilipat-gandakan kerana keperluan pembangunan yang masih banyak.

Beliau yang juga ADUN Kadamaian berkata, pada tahun ini, kementeriannya akan melaksanakan beberapa inisiatif dan projek Baharu.

"Antaranya ialah Program Rangsangan Koperasi Pelancongan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Projek Tamu Desa. 

"Selain itu, KUSKOP melalui SKM turut memperkenalkan semula Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) yang tertunda pelaksanaannya sejak 2019 ekoran pandemik COVID-19.

"Pada hari ini, selain Peluncuran Pembangunan Kadamaian dan Sambutan Rumah Terbuka Krismas, Jualan Madani Koperasi juga turut diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai khsusunya masyarakat Kadamaian membeli barang-barang keperluan harian dengan harga yang lebih murah daripada pasaran biasa," katanya.

Ewon berharap berharap orang ramai akan meluangkan masa mengunjungi dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim-skim pembiayaan, program-program bimbingan keusahawanan dan maklumat lain berkaitan keusahawanan yang disediakan oleh setiap agensi.
 

  • oleh
  • Advertisement