Anda di sini

Sabah cipta lembaran sejarah di tahun baharu

Advertisement
 

HARI ketiga di tahun baharu 2024 menjadi titik bersejarah bagi Sabah dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor.

Ini kerana pada tarikh itu (3 Januari 2024), persidangan khas sehari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) bagi kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Persekutuan.

Sejarah yang tercipta membuka lembaran baharu dalam perjuangan kerajaan Sabah memartabatkan hak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini antara realiti kejayaan kepimpinan Hajiji dalam berjuang mendapatkan hak, demi Sabah dan rakyatnya.

Seawal mengambil alih pentadbiran negeri pada 2020, beliau berusaha dalam diam bagi mendapatkan hak-hak termaktub dalam MA63 termasuk berkaitan isu elektrik yang turut dilaungkan pemimpin terdahulu.

Realitinya, banyak sudah pencapaian signifikan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji dalam perjuangan MA63 ini.

 Hajiji ketika membentangkan tiga RUU berkaitan elektrik dan tenaga boleh baharu di persidangan khas DUN pada Rabu.
DEMI RAKYAT: Hajiji ketika membentangkan tiga RUU berkaitan elektrik dan tenaga boleh baharu di persidangan khas DUN pada Rabu.

Kerajaan Persekutuan turut mengakui bahawa pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu itu, sesuatu yang membawa impak bermakna.

Menerusi kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, penyerahan fasa satu telah berkuat kuasa serta-merta selepas sidang DUN kelmarin (3 Januari), manakala fasa seterusnya pula dilaksana dalam tempoh tujuh tahun dan dijangka selesai pada 2030.

“Keputusan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963,” kata kementerian itu.

Menariknya, RUU itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan oleh beberapa penyokong kerajaan dan pembangkang.

Kecuali segelintir pembangkang yang berpidato politik ketika membahaskannya, rata-rata yang lain menyambut baik dan mengalu-alukan pengambilalihan kuasa itu oleh kerajaan negeri daripada Kerajaan Pusat.

Tiga RUU berkenaan ialah RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024 dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024.

RUU berkenaan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) untuk mengawal selia industri bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah.

Justeru, segala aktiviti berkaitan bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu dapat dijalankan secara berterusan tanpa sebarang gangguan.

Ia juga seiring dengan persetujuan secara bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengambilalihan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri pada 12 Jun 2023.

Berikutan kelulusan RUU itu dan penyerahan kuasa secara berfasa, kini kerajaan negeri akan mencari formula khusus bagi mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam tempoh tujuh tahun.

Ketika  ini pemilikan SESB di peringkat kerajaan negeri hanya 17 peratus, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) menguasai 83 peratus.

Hakikatnya, proses pengambilalihan itu membolehkan segala aktiviti sektor pembekalan elektrik dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif serta efisien.

Pada 19 September 2023, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang digubal oleh ECoS.

Antara intipati SE-RAMP 2040 yang menyokong pembangunan tenaga boleh baharu termasuk penambahan komposisi tenaga boleh baharu di dalam campuran penjanaan tenaga elektrik di Sabah melalui kajian dan pembangunan sumber sedia ada dan yang baharu.

Ia turut membangunkan suatu Pelan Induk Pembangunan Hidroelektrik di Sabah melalui kajian yang kini sedang dilaksanakan oleh ECoS.

Dengan pengambilalihan kuasa itu, kini Sabah boleh memandang masa depan yang lebih bersinar terang, sekaligus memenuhi harapan tinggi yang disandarkan rakyat di bawah lembayung Sabah Maju Jaya (SMJ).

Advertisement