Anda di sini

Kanak-kanak terbabit kemalangan, maut semasa terima rawatan

Advertisement
 Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda.
OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda.

KOTA MARUDU: Salah seorang mangsa yang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Rakit, di sini Isnin lalu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Lotong Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, mangsa, Rebecca Grace Tintingon, 9, disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Kota Marudu pada jam 2 pagi hari ini oleh pihak pegawai perubatan bertugas.

“Semasa kejadian, mangsa adalah penumpang hadapan di dalam kenderaan pacuan empat roda itu dan juga anak kepada pemandu kenderaan terbabit ,” katanya.

Terdahulu, tiga individu parah manakala lima yang lain mengalami kecederaan selepas pacuan empat roda merempuh sebuah lori tiga tan kira-kira jam 4.45 petang Isnin.

Kejadian menyebabkan pemandu kenderaan pacuan empat roda wanita berumur 48 tahun parah iaitu patah di bahagian paha kanan dan tangan kiri manakala penumpangnya berumur 15 tahun turut parah dengan patah di bahagian kaki kiri.

Pemandu lori tiga tan berumur 43 tahun juga parah selepas patah di bahagian paha sebelah kiri manakala lima lagi individu yang cedera ialah tiga penumpang pacuan empat roda dan dua penumpang lori tiga tan.

“Berdasarkan siasatan awal di lokasi kemalangan, lori tiga tan bergerak dari arah Kampung Talantang menuju ke Langkon dengan muatan sawit manakala pacuan empat roda dari Penampang menuju ke Kanibungan, Pitas.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pacuan empat roda hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, lori terpusing dan terbabas di kiri jalan Kota Marudu-Pitas manakala pacuan empat roda terbalik di bahagian kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan ketika kejadian cuaca hujan renyai-renyai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, tiga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu.

“Operasi ditamatkan pada jam 6.20 petang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement