Anda di sini

Penggiat teater tradisi Mek Mulung meninggal dunia

Advertisement
 

ALOR SETAR: Penggiat teater tradisi Mek Mulung, Saipol Bahari Mohd Iman (gambar) meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, malam tadi.

Saipol Bahari, 47, yang juga Pengerusi Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB), baru sahaja mengharumkan nama negara setelah Mek Mulung menerima pengiktirafan Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera dari Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), awal bulan lepas.

Abang sulungnya, Mohd Ridzwan berkata Allahyarham Saipol Bahari meninggal dunia pada kira-kira 10 malam di sebuah pusat perubatan swasta di sini selepas mengalami sesak nafas di rumahnya.

"Saya sedang dalam perjalanan pulang ke kampung di Alor Setar sebelum menerima panggilan telefon daripada isteri arwah dan meminta untuk bawa arwah ke hospital. Namun, kemudian saya sekali lagi menerima panggilan telefon yang memaklumkan arwah sudah meninggal dunia.

"Beberapa jam sebelum meninggal dunia, arwah sempat menghadiri majlis kenduri ahli keluarga dan dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit. Jadi kami semua memang terkejut dengan pemergiannya yang secara tiba-tiba," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saipol Bahari merupakan sebahagian daripada delegasi Mek Mulung yang berangkat ke Kasane, Republik Bostwana baru-baru ini untuk menerima pengiktirafan UNESCO dan beliau yang juga bergiat aktif sebagai pengarah dan penulis skrip teater Mek Mulung turut menerima Anugerah Penggiat Seni Teater pada Majlis Anugerah Seni Budaya Negeri Kedah 2023, bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Kedah, Sabarina Masadi menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang sangat besar dalam seni tradisi Kedah itu.

"Mek Mulung semakin hilang dan arwah telah bekerja keras bersama kumpulannya untuk mengangkat kembali tradisi warisan Kedah Tua ini ke mata dunia sehingga berjaya mendapat pengiktirafan dunia. Pemergiannya merupakan cabaran besar buat kami dan tidak mudah untuk mencari pengganti sepertinya," katanya.

Jenazah dijangka dibawa ke Masjid Derga di sini untuk disolatkan dan akan dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda, dekat sini.- BERNAMA
 

Advertisement