Anda di sini

Penduduk tuntut kembalikan tanah adat Kampung Serudung Laut, Kalabakan

Advertisement
 Penduduk Kampung Serudung Laut Ulu Poirogon, Kalabakan melakukan perhimpunan aman di hadapan pejabat PPHT Tawau.
TUNTUT: Penduduk Kampung Serudung Laut Ulu Poirogon, Kalabakan melakukan perhimpunan aman di hadapan pejabat PPHT Tawau.

TAWAU: Penduduk Kampung Serudung Laut Ulu Poirogon, Kalabakan memohon kerajaan bantu kembalikan tanah adat mereka yang didakwa diceroboh oleh pihak luar.

Penduduk berkenaan mendakwa tanah seluas kira-kira 5,000 ekar yang mereka duduki sejak zaman sebelum konfrontasi lagi telah diceroboh termasuklah kawasan penempatan, tanaman dan perkuburan.

Penduduk terbabit terpaksa meminta bantuan khidmat nasihat daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah untuk membela nasib mereka.

Ketua Pegawai Operasi MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan mengenai pencerobohan tanah adat mereka.

Katanya, tindakan awal yang diambil adalah membawa memorandum kepada pihak pegawai Penolong Pemungut Hasil Tawau (PPHT) Tawau untuk memohon penjelasan mengenai status tanah di kampung berkenaan.

“Kita hadir bersama 135 orang penduduk kampung yang mendakwa ditindas oleh pihak tertentu dengan menceroboh tanah adat mereka.

“Sekiranya terdapat usaha mengeluarkan geran bagi kependudukan tanah adat yang mereka duduki itu, kita akan buat bantahan awal.

“Namun, sekiranya geran telah dikeluarkan, kita minta penjelasan, bagaimana ia dikeluarkan atas tanah perkampungan, perkuburan dan tanaman yang sudah diduduki oleh penduduk asal,” katanya.

Jerry berkata, pihaknya tidak teragak-agak membawa kes ini ke mahkamah dan melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat unsur penyelewengan ke atas tanah ini.

Menurutnya, penduduk kampung juga telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berhubung pencerobohan tanah perkuburan adat mereka.

“Penduduk mendakwa tanah perkuburan adat ini telah diceroboh dengan pengebumian mayat-mayat disyaki warga asing yang berkerja di ladang berhampiran.

“Lebih parah lagi, laluan keluar masuk utama penduduk terpaksa menggunakan jalan ladang berhampiran yang menyukarkan mereka sekiranya berlaku kecemasan pada waktu malam,” katanya.

Justeru, katanya, penduduk di kampung berkenaan memohon pembelaan dan perhatian daripada pihak kerajaan negeri supaya menyelesaikan masalah pencerobohan ini.

“MHO Sabah komited membantu penduduk terbabit sehingga tanah adat mereka dikembalikan daripada pihak yang didakwa menceroboh itu,” katanya.

 Jerry (dua kiri) ketika menyerahkan memorandum kepada Pegawai PPHT Tawau, Imran Haji Joh.
SERAH: Jerry (dua kiri) ketika menyerahkan memorandum kepada Pegawai PPHT Tawau, Imran Haji Joh.

Sementara itu, penduduk, Malik Tikon, 51, berkata, semua penduduk Kampung Serudung Laut Ulu Poirogon adalah orang tempatan dan warganegara Malaysia iaitu suku Murut.

Katanya, penduduk kampung sudah memohon geran untuk tanah adat di kampung itu pada tahun 2000 lagi, tetapi belum ada kelulusan daripada pihak PPHT.

“Namun, pada tahun 2014, ada pihak luar datang ke kampung ini yang mengaku pemilik tanah adat kami, malah bertindak mengusir dan meroboh empat buah rumah penduduk.

“Tindakan itu memang menindas penduduk kampung yang sudah tinggal sejak tujuh keturunan lagi sehingga menyebabkan kami merempat di tanah sendiri.

“Kami memohon pihak kerajaan negeri terutamanya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor tampil membantu menyelesaikan masalah pencerobohan ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement