Anda di sini

Curi kabel elektrik milik TM, pemuda dipenjara enam bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mencuri segulung kabel elektrik milik Telekom Malaysia Berhad (TM) Khamis lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Mohd Shahrul Nizam Jara’ee, 26, untuk dikuatkuasakan mulai dari tarikh dia ditangkap (14 Disember 2023).

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 14 Disember 2023, sekitar jam 11.15 malam di sebuah bangunan di pusat komersial Jalan Sungai Maong, Lorong Datuk Temenggong Tan Meng Chong 8, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Fakta kes mendedahkan seorang pengawal keselamatan lelaki (pengadu) yang bertugas di tempat itu pada malam kejadian terdengar bunyi bising di bahagian belakang bangunan dan seterusnya melakukan pemeriksaan.

Pengadu ternampak tertuduh sedang menarik kabel TM dari dinding bangunan dan melihatkan keadaan tersebut, pengadu melarang tertuduh namun tidak diendahkan. 

Susulan itu, pengadu menahan dan melengahkan pergerakan tertuduh sebelum pihak polis yang melakukan rondaan tiba di lokasi untuk menahan serta menangkapnya.

Hasil siasatan mendapati seorang saksi iaitu juruteknik syarikat TM mengesahkan bahawa tertuduh bukan pekerja syarikat terbabit, selain tidak mempunyai kebenaran sah untuk mengambil atau menyimpan kabel di tempat kejadian. 

Selain itu, juruteknik itu juga mengenali barang kes (segulung kabel milik TM) yang dirampas daripada tertuduh.

Malah, rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian turut merakam perbuatan tertuduh yang mengambil kabel tersebut. 

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Ammarsoffi Yusoff sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
 

Advertisement