Anda di sini

Lima graduan terima anugerah BEM

Advertisement
 Melvin menerima anugerah BEM.
KENANGAN: Melvin menerima anugerah BEM.

KOTA KINABALU: Lembaga Jurutera Malaysia menganugerahkan Anugerah Board of Engineers Malaysia (BEM) kepada lima graduan cemerlang Fakulti Kejuruteraan (FKJ) pada Majlis Konvokesyen UMS ke-25.

Anugerah disampaikan Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim dan disaksikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Salah seorang penerima, Melvin Lai Yun Tenn, 23, meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.87 tidak menyangka akan dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah BEM.

“Saya tidak menyangka dinobatkan sebagai salah seorang penerima anugerah BEM kerana pada mulanya hanya mengetahui mendapat Kelas Satu.

“Bagaimanapun saya berasa gembira dengan anugerah yang diterima atas pencapaian saya sepanjang pengajian di UMS,” katanya yang juga merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Graduan yang berasal dari Penampang bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang akademik, malah turut bergiat aktif dalam Kelab Society of Petroleum Engineers (SPE), Student Chapter dan memegang jawatan bendahari.

“Penglibatan saya dalam kelab juga banyak mengajar saya dalam hal pengurusan dalam mengurus program dengan baik, termasuk perancangan, pelaksanaan dan penilaian sesebuah program. 

“Saya juga pernah menjadi pengarah program bagi Program Minggu Suai Mesra (MSM) yang membantu mengasah bakat kepimpinan dalam mengurus program,” tambahnya ketika di temu bual.

Berkongsi lanjut, beliau kini memulai kerjayanya dalam bidang kejuruteraan di Petronas sebagai jurutera dalam bidang minyak dan gas. 

“Buat masa ini saya masih mempertimbangkan keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang seterusnya. Saya lebih cenderung meneruskan bekerja dalam bidang kejuruteraan yang memfokuskan bidang teknikal. 

“Selama dua bulan bekerja dalam bidang industri minyak dan gas, pengalaman yang dapat saya ambil adalah berkaitan dengan pengurusan teknikal, bahkan saya juga mempelajari pengurusan struktur politik pengurusan sesebuah organisasi dalam menjaga hubungan rangkaian dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Antara graduan yang turut menerima Anugerah BEM ialah Harold Harrison Hiru @ Harry, Ng Shi Jin, Aaron Yeap Wai Hung dan Ismanoorifah binti Ismail. 

Untuk rekod, anugerah akademik ini merupakan usaha bersama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara pihak BEM dan FKJ, UMS melalui program-program kejuruteraan yang ditawarkan untuk menggalakkan kecemerlangan akademik melalui pengiktirafan pelajar-pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan masing-masing.
 

Advertisement