Anda di sini

WARISAN, UMNO Sabah beri bayangan wujudkan kerjasama PRN17

Advertisement
 Shafie ketika menyambut kehadiran Bung Moktar dan rombongan dalam perhimpunan itu.
KERJASAMA: Shafie ketika menyambut kehadiran Bung Moktar dan rombongan dalam perhimpunan itu.

KOTA KINABALU: Terdapat kemungkinan Parti Warisan (WARISAN) dan UMNO Sabah bakal mewujudkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

Ia berikutan kehadiran Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan rombongannya pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti WARISAN yang diadakan di Dewan Hakka Likas, semalam.

Kedua-dua presiden parti iaitu Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Bung Moktar tidak menolak kemungkinan kerjasama politik di Sabah akan diwujudkan, walaupun ia masih belum rasmi.

Bung Moktar berkata, belum ada perbincangan secara rasmi antara UMNO dan WARISAN berkaitan kerjasama politik setakat ini.

“Perbincangan secara rasmi belum ada, namun dalam hidup pun perlu ada kerjasama, suami isteri pun perlu ada kerjasama.

“Sebenarnya saya di sini adalah semata-mata memenuhi jemputan Shafie dan ia tidak menjadi kesalahan kerana WARISAN juga adalah sebahagian daripada kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui.

Ketika ditanya khabar angin mengenai perpecahan dalam UMNO Sabah, Bung menafikan dan mengesahkan parti itu masih utuh.

Sementara itu Shafie berkata, kedua-dua pihak telah mengadakan beberapa perbincangan dan terdapat maklum balas positif daripada akar umbi mengenai kerjasama itu.

“Kami telah mengadakan beberapa program di Semporna dan Lahad Datu, malah di Tanjung Aru. Setakat ini, orang ramai menerimanya,”katanya.

Walaupun UMNO adalah parti dari semenanjung, Shafie berkata mereka bekerja untuk kepentingan rakyat dan negeri Sabah. Bung berasal dari Kinabatangan dan sangat lantang tentang isu Sabah.

“Kami percaya, bahawa semua perlu bekerjasama dengan pihak yang berada di semenanjung juga pada akhirnya.

“Tetapi saya sudah menyatakan ia mesti untuk kepentingan rakyat dan negeri Sabah, bukannya WARISAN atau UMNO,” katanya.

Terdahulu, Khabar angin kerjasama antara UMNO Sabah dan WARISAN bermula pada awal 2023 apabila berlaku kemelut politik yang dikenali sebagai Langkah Kinabalu.

Apabila Langkah Kinabalu gagal, tiada perkembangan lanjut berhubung kerjasama itu sehingga Bung sekali lagi membayangkan untuk menjalin kerjasama dengan WARISAN pada 18 November lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak belum memuktamadkan sebarang kerjasama rasmi walaupun dilihat menyokong program masing-masing dalam pelbagai program di peringkat akar umbi.

  • oleh
  • Advertisement