Anda di sini

Ewon hadiri ulang tahun ke-69 Bank Rakyat

Advertisement
 Ewon ketika menyampaikan ucapan belia pada majlis itu.
AMANAT: Ewon ketika menyampaikan ucapan belia pada majlis itu.


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menghadiri majlis Makan Malam dan Sambutan Ulang Tahun ke-69 Bank Rakyat Peringkat Ibu Pejabat, di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini kelmarin.

Ketika berucap pada majlis itu, Ewon menyeru warga kerja Bank Rakyat terus saling berganding bahu menghasilkan anjakan paradigma dalam memperkasakan keusahawanan secara inovatif dan kreatif.

Beliau berkata, ini penting bukan hanya menjana keuntungan malah mencipta peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan.

“Majlis ini juga merupakan platform terbaik untuk menghargai dan mengiktiraf kejayaan warga kerja Bank Rakyat atas usaha gigih mereka saban tahun.

“Sesungguhnya, perkhidmatan dan kemudahan perbankan, program latihan serta sumber bantuan kewangan yang disalurkan oleh Bank Rakyat kepada usahawan dan koperasi selama ini telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya.

Ewon berkata, adaptasi yang didorong oleh inovasi dalam perkhidmatan perbankan amat penting seiring dengan perubahan masa dan teknologi perindustrian Revolusi Industri 4.0 dan 5.0. 

“Ini untuk memastikan mutu perkhidmatan perbankan sentiasa dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak pelanggan yang sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman.
 

Advertisement