Anda di sini

PMKS terjejas banjir boleh mohon penangguhan bayaran pinjaman

Advertisement
 Ewon (dua kiri) mendengar taklimat mengenai pembinaan Menara Bank Rakyat.
TAKLIMAT: Ewon (dua kiri) mendengar taklimat mengenai pembinaan Menara Bank Rakyat.

JOHOR BAHRU: Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas banjir boleh memohon penangguhan pembayaran balik pinjaman sekurang-kurangnya selama tiga bulan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, penangguhan sementara itu bertujuan membantu usahawan terlibat memulihkan perniagaan mereka selepas terjejas banjir.

Katanya, KUSKOP dibawah agensinya mempunyai dasar untuk membenarkan peminjam menangguhkan sementara bayaran pinjaman mereka sekiranya terjejas akibat banjir.

“Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), misalnya boleh memberikan penangguhan bayaran pinjaman sehingga tiga bulan sekiranya perlu.

“Justeru, saya meminta agensi-agensi KUSKOP yang menerima permohonan penangguhan pinjaman usahawan PMKS supaya mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square, di sini, kelmarin.

Terdahulu, Ewon diberi taklimat mengenai pembinaan Menara Bank Rakyat setinggi 35 tingkat yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Coronation Square seluas 2.3 hektar adalah antara Zon Pembangunan Projek Ibrahim International Business District (IIBD).

Beliau juga turut diberi taklimat mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Singapura di stesen Woodlands North dan Malaysia di stesen Bukit Chagar.

Turut hadir, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat Dr Mohammad Hanis Osman, Pengarah urusan Coronade Properties Datuk Patrick Lim dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany.

  • oleh
  • Advertisement