Anda di sini

Gegantung: Rumah Urut Bakal Dibuka Tidak Lama Lagi

Advertisement
 
 

Oleh: Frankie Latit

URUTAN tradisi Melayu tentunya.”

     Jawapan diterima penduduk setempat tidak seperti diharapkan. Sejak kebelakangan ini, mereka tertanya-tanya sesama sendiri. Apakah sebenarnya perkhidmatan disediakan oleh sebuah rumah urut di kawasan kejiranan mereka? Julung kali pula perkhidmatan seumpama ini dibangunkan di kawasan nun jauh di pedalaman.

     “Dia tak sedar diri? Atau dia memang tidak waras?” Ada senyum sumbing di bibir penduduk kampung. “Kita ni kan orang Kelabit.”

     “Kalau siuman.” Sampuk yang lain menahan ketawa, “Dia tentu membuka rumah inap desa macam Bulan Wan di Bario. Atau seperti Jok Ngau di Pa Lungan.”

     “Dia ingat Pa Dalih ni bandar raya Miri.” Celah yang lain, “Ada orang datang berurut setiap hari.”

     Ketawa pun pecah dalam kalangan kaum ibu. Petang itu mereka sedang duduk santai di halaman rumah. Menyalakan unggun api seperti biasa. Agas perlu dihalau daripada menyerang kerbau. Lagi-lagi anak kerbau yang masih menyusu. Sambil-sambil itu, mereka berkesempatan menghangatkan tubuh badan sendiri.

     Di tanah tinggi Bario, suhu turun dengan mendadak selepas tengah hari. Musim kemarau paling ketara. Matahari akan kelihatan di dada langit cuma sejam dua. Selebihnya, Lembah Punang Kelapang diselubungi kabus tebal.

     Cuaca sejuk semakin menjadi-jadi membawa ke petang. Apabila malam menjelang, suhu sejuk kian menggigit sum-sum tulang. Sebelum dinihari menjelma, minyak masak di dalam bekas telah membeku sepenuhnya.

     “Jika betul, tak ada salahnya?” Seloroh salah seorang pemuda sambil tersengih-sengih memandang para ibu yang sibuk menyusun kayu api sedari tadi, “Tak perlulah kami turun ke Miri untuk menemui tukang urut muda yang cantik-cantik.”

     Sudah lebih dua minggu kedua-dua pemuda ini membaik pulih sebuah rumah kayu berdekatan. Mereka berdua bertungkus-lumus menggantikan atap bocor serta menukar dinding kayu yang reput. Rumah tradisi Orang Ulu ini perlu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

     Sejak lima hari lepas, kerja mengukir dinding dan tiang telah dimulakan. Baru petang ini, kedua-duanya beralih kepada mengecat ukiran berkenaan. Cat hitam dan putih telah dijadikan pilihan. Kedua-dua pemuda ini sedia maklum. Ukiran tradisi rumah Orang Ulu tidak boleh diukir sesuka hati. Silap hari bulan boleh menimbulkan kekecohan bahkan perbalahan. Zaman dahulu, mereka yang berkasta rendah tidak dibenarkan langsung menggunakan ukiran dinding rumah kasta kayangan. Ukiran rumah kayu yang sedang dibaik pulih kedua-dua pemuda tersebut tidak menjadi isu. Isu utama menjadi buah mulut penduduk setempat mutakhir ini ialah gegantung yang tergantung di anjung rumah itu. Tertulis dengan besar dan jelas, RUMAH URUT BAKAL DIBUKA TIDAK LAMA LAGI.

     Kekecohan bermula apabila salah seorang penduduk berkongsi gambar gegantung tersebut di aplikasi Whatsapp, sebelum tular ke seluruh kumpulan Whatsapp di Lembah Punang Kelapang.

     Seiring tularnya gambar gegantung tersebut, cerita Mujan Lah hendak membuka rumah urut pun semakin hangat diperkatakan. Usikan nakal beberapa individu juga mulai kedengaran. Ditambah lagi telah disensasikan oleh beberapa individu lain dari Bario, Pa Lungan, Ramudu dan Pa Mada. Lama-kelamaan usikan-usikan ini bertukar menjadi liar dan tidak terkawal.

     Tepat tengah malam, tanpa disangka-sangka, pintu rumah saya diketuk bertalu-talu dari arah luar. Apabila dibuka, kelibat Mujan Lah dan anak perempuan sepupunya sudah terpacak di muka pintu.

     Dengan muka terlihat tegang, Mujan Lah menerangkan tujuan kedatangan mereka berdua, “Aku sudah tidak tahan lagi mendengar usikan nakal penduduk setempat, dresar.”

     Tanpa bertangguh, saya meminta kedua-duanya menunggu di tempat biasa. Setelah menghidupkan generator berkuasa diesel di stor, saya bergegas ke bangunan utama. Kuarters saya terletak di belakang bangunan klinik kesihatan. Ketiga-tiga bangunan ini dipagar dengan kawat berduri.

     Untuk memasuki kawasan klinik kesihatan, pelawat kena melalui pintu pagar yang tersedia di depan sekali. Bersebelahan jalan masuk utama, terpacak sebuah papan tanda kecil. Biar cat biru sedikit memudar, tulisan berwarna putih di atasnya masih boleh dibaca, KLINIK KESIHATAN PA DALIH.

     Nun jauh di seberang klinik kesihatan, terpacak gah rumah urut yang heboh diperkatakan. Jauh ke belakang, kawasan bukit sedang diratakan. Menurut papan tanda terpacak di depan tapak pembinaan, kawasan tersebut hendak dijadikan tapak sumber tenaga hijau. Tempat itu khabarnya dibangunkan untuk menjana tenaga solar. Tidak lama lagi bakal berfungsi membekalkan tenaga elektrik ke kawasan sekitar.

     Di sebelah lain, Sekolah Kebangsaan Pa Dalih mengambil tempat. Di seberang padang sekolah, rumah penduduk setempat kelihatan tersusun rapat. Ada yang diperbuat daripada batu. Ada juga dibina daripada kayu. Ada yang berdiri sebuah-sebuah. Ada yang terpacak bersambung dua tiga buah rumah.

     Di hujung jalan, sebatang anak sungai mengalir jernih. Menjelang malam, arus sungai yang deras menghempas dinding batu akan terdengar sayup-sayup di kejauhan.

     Sampai di bangunan utama, saya terus mengajak Mujan Lah dan anak buahnya masuk ke bilik rawatan. Bilik ini terletak di sebelah kanan ruang menunggu. Di sebelah kiri ialah stor ubat-ubatan. Di belakang sekali ditempatkan sebuah wad perubatan. Sepanjang tiga tahun telah melaporkan diri bekerja di sini, saya belum pernah menggunakan wad berkenaan. Jika ada kes memerlukan penjagaan lanjut, saya lebih senang merujuk kes berkenaan kepada pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Bario. Alasan saya berbuat demikian bukan kerana jaraknya tidak terlalu jauh. Perjalanannya tetap mengambil masa lebih kurang 45 minit hingga satu jam menggunakan kereta pacuan empat roda. Cuma perkhidmatan ditawarkan di Klinik Kesihatan Pa Dalih agak terhad. Bayangkan seorang staf sahaja bertugas di sini, iaitu saya.

     Pernah dahulu dua orang jururawat masyarakat ditempatkan di Klinik Kesihatan Pa Dalih. Akibat beban kerja hampir tidak ada, kedua-duanya diarahkan bekerja sepenuh masa di Klinik Kesihatan Bario. Mereka berdua dikehendaki melakukan lawatan kerja sebulan sekali ke sini.

     Setelah meminta Mujan Lah duduk, saya lalu bertanya, “Apakah yang saya boleh bantu, puan?”

     “Aku sedih. Aku kecewa, dresar,” ujarnya perlahan dan hampir tidak kedengaran.

     Belum sempat saya meminta kebenaran untuk memeriksa tekanan darah, kadar nadi, kadar pernafasan dan kandungan oksigen di dalam darah, dia sudah menghulurkan tangan kiri.

     Usai mencatit keputusan di dalam kad rawatan, saya kembali menyoalnya, “Boleh saya tahu kenapa puan kelihatan sugul sebegini?”

     Dia diam. Kemudian memandang saya untuk seketika. Sebelum menangis teresak-esak, dia sempat mengakui, “Aku malu dengan dresar.”

     “Puan usah terburu-buru.” Sambung saya sambil menyerahkan beberapa helai tisu, “Puan boleh ceritakan jika rasa sudah bersedia kemudian.”

     Dia segera meminta maaf. Dia mengaku tidak tahu bagaimana hendak menceritakan masalah yang sedang dihadapinya.

     Mendengar dia berkata begitu, saya pun cuba meyakinkannya. Dia, pujuk saya, boleh sahaja meluahkan apa-apa kegusaran yang terbuku di hati kepada saya. Sebagai seorang dresar, menjaga kerahsiaan pesakit ialah sebahagian tugas dan amanah saya.

     “Beri aku sedikit masa lagi,” pinta Mujan Lah sambil mengalihkan tempat duduk. Kemudian dia merenung saya barang sekejap. Sebelum mengalihkan anak mata memerhati keadaan di sekeliling.

     Tidak banyak benda boleh ditatap di dalam bilik rawatan. Rata-rata bangunan klinik dibina daripada kayu. Dindingnya dicat putih. Tingkapnya ditutupi langsir biru muda. Ruang biliknya yang sederhana besar memadai diterangi dua biji lampu kalimantang. Terdapat sebuah katil yang digunakan untuk merawat pesakit dan sebuah tong oksigen di situ. Singki tempat mencuci tangan terletak bersebelahan troli kecemasan.

     Saya mengangguk. Belum sempat saya kembali ke meja, Mujan Lah kembali membuka suara. “Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa.”

     Saya memasang telinga.

     “Betulkah membuka rumah urut terlihat begitu keji, dresar?” Sambungnya setelah meneguk air liur beberapa kali, “Biarpun perkhidmatan diberikan tidak seperti yang difikirkan. Selain jauh berbeza daripada perkhidmatan disediakan pusat-pusat urut di bandar-bandar besar.”

     Saya tersenyum. Sebelum ini pun Mujan Lah pernah menceritakan pandangan masyarakat kalau menyebut diri bekerja sebagai tukang urut. Lagi-lagi tukang urut itu seorang wanita. Ketika itu, dia datang melawat isteri saya yang belum lama melahirkan anak sulung kami.

     Pada mulanya, saya ingatkan dia saja-saja datang ke rumah. Tidak saya sangka dia berniat menawarkan perkhidmatan penjagaan tradisional ibu lepas bersalin. Secara percuma, tambahnya lagi. Saya fikir barangkali dia perasan tidak ada orang tua yang menjaga isteri saya masa itu. Memandangkan pernah terlibat dengan aktiviti ini agak lama, dia rasa terpanggil untuk membantu isteri saya.

     Kemudian baru saya tahu sedikit sebanyak tentang latar belakang Mujan Lah. Setelah kematian suami, dia membesarkan anak dengan melakukan dua pekerjaan. Dia bekerja di kilang pada siang hari. Menjelang malam, dia bekerja sambilan sebagai pembantu penjaga ibu lepas bersalin. Setelah mahir, baru dia bekerja sendiri.

     Ketika ditanya di mana dia mempelajari urutan tradisional Melayu, dia membalas saya, daripada seorang ibu angkat. Wanita ini, menurut Mujan Lah, bukan sahaja mengajarnya tentang hal penjagaan ibu lepas bersalin. Lebih daripada itu, ibu angkatnya itu banyak membantu dan menggalakkan dia agar serius mempelajari kemahiran tersebut.

     Dengan kemahiran tinggi, ibu angkatnya percaya bahawa Mujan Lah tidak perlu lagi melakukan dua pekerjaan. Dia boleh sahaja menjalankan urutan tradisional Melayu sebagai pekerjaan utama sepenuh masa kemudian hari.

     Kata Mujan Lah lagi kepada saya, menurut ibu angkatnya, permintaan untuk penjagaan ibu lepas bersalin di bandar besar mutakhir ini semakin meningkat dari hari ke hari. Seiring juga pertambahan kelahiran bayi saban tahun. Upah juga diceritakan Mujan Lah boleh mencecah ribuan ringgit. Bergantung dengan tempoh penjagaan ibu berpantang. Paling kurang tiga bulan lamanya.

     Apabila anak tunggalnya sudah mendapat pekerjaan tetap dan berumah tangga, Mujan Lah nekad kembali ke kampung halaman. Lagipun sudah lama rumah pusaka milik keluarganya tidak terjaga.

     Seingat saya, Mujan Lah kembali betul-betul sebulan sebelum saya membawa isteri tinggal di Pa Dalih. Isteri saya baru beberapa minggu lepas bersalin. Saya percaya Pa Dalih memang sesuai untuk aktiviti pemulihan fizikal dan mental ibu sedang berpantang. Dari udara bersih dan segar hingga ke keindahan hutan semula jadinya. Memang berupaya menenangkan sesiapa sahaja. Lagi-lagi kalau individu itu sudah bosan dengan hiruk-pikuk di bandar dan kota.

     Pada hari itu, entah bagaimana saya tergerak mencadangkan sesuatu kepada Mujan Lah. Dia, kata saya, harus membuka rumah inap desa berkonsepkan ekopelancongan dan pelancongan berasaskan perubatan. Saya ingat sangat bagaimana dahinya berkerut ketika itu. Sebelum saya menerangkan lebih lanjut kepadanya selang beberapa detik kemudian.

     Awal-awal Mujan Lah menolak mentah-mentah. Lagipun dia telah memutuskan. Sudah tiba masa untuk dia berehat sepenuh masa. Tambahan, dia tidak yakin dengan cadangan saya.

     Soalnya kepada saya kemudian, siapakah yang sanggup datang menempuh jarak sejauh 370 kilometer dari Miri ke Pa Dalih? Menaiki kapal terbang Twin Otter pun mengambil masa sejam untuk sampai ke Bario. Dari Bario terpaksa menaiki kereta pacuan empat roda untuk sampai ke Pa Dalih.

     Apabila saya mengatakan bahawa kepakaran itu harus diturunkan kepada saudara-mara terdekat, dia mula memasang minat. Lagi satu, kata saya lagi, perubatan tradisional Melayu terutama berkaitan penjagaan ibu lepas bersalin termasuk urut-mengurut semasa berpantang memang diiktiraf di bawah Akta 775.

     Maksudnya, tambah saya, dia layak mendaftar sebagai pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang sah seperti pengamal akupuntur, homeopati, osteopati, kiropraktik dan pengubatan Islam.

     Belum sempat dia bertanya mana mungkin orang Kelabit layak mendaftar sebagai pengamal perubatan tradisional dan komplementari perubatan tradisional Melayu, saya terangkan terlebih dahulu.

     Jika mana-mana amalan perubatan tradisional hendak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kata saya, ia adalah amalan perubatan yang boleh diamalkan dan diterima pakai oleh sesiapa sahaja. Selain boleh diamalkan di mana-mana pelosok dunia. Jika sebaliknya, amalan perubatan tradisional tersebut tidak mungkin akan diiktiraf.

     Sebagai contoh, terang saya lagi, rawatan mengunakan mantera. Rawatan ini hanya boleh diguna pakai individu tertentu yang mempercayainya sahaja. Rawatan sebegini secara langsung tidak akan layak didaftarkan sebagai amalan perubatan tradisional di bawah akta berkenaan.

     Sebelum dia menamatkan hari terakhir penjagaan ibu lepas bersalin terhadap isteri saya, saya sempat berpesan kepadanya sekali lagi. Jika memerlukan bantuan dalam permohonan pendaftaran sebagai pengamal perubatan tradisional dan komplementari, dia boleh meminta bantuan saya. Saya juga berbesar hati membantunya memohon dana daripada kerajaan negeri untuk memulakan projek ekopelancongan dan pelancongan berasaskan perubatan. Saya ingat lagi, ketika itu, dia tidak menggeleng atau mengeyakan. Dia sekadar meminta saya menulis pautan laman sesawang Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) yang saya maksudkan.

     “Jadi itulah yang menggusarkan, puan?” soal saya lagi, “Tak yakin menepis pandangan negatif masyarakat setempat?”

     Dia menggeleng perlahan.

     “Atau modal yang disediakan kerajaan tempatan tidak mencukupi?” teka saya lagi.

     Dia menggeleng lagi.

     “Permohonan pendaftaran puan tidak ditolak bukan?”

     “Lesennya sudah ada di tangan mak angkatku beberapa hari lepas.” Tambahnya lagi, “Lusa Mak Milah dan anak lelakiku akan membawa sijil berkenaan datang ke sini.”

     “Tahniah, puan.” Soal saya kemudian, “Bukankah itu berita yang amat menggembirakan?”

     “Aku cuma kesal, dresar. Sedih dengan mulut saudara-maraku sendiri.” Setelah menyeka air mata, dia meneruskannya, “Rasanya dresar pun ada mendengar cerita tidak enak kebelakangan ini.”

     Giliran saya mengangkat bahu.

     “Betul dresar tak tahu?”

     Saya mengangguk. Senyum.

     “Kalau mereka mati-mati mengatakan bahawa usahaku ini adalah kerja gila, aku tidak ambil hati.” Terangnya lagi setelah menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan ke udara, “Adakah patut dresar yang mendukung usahaku selama ini pun terkait sama dianggap tidak siuman?”

     Saya tergelak.

     “Jika begitu, cukup jadikan acara meletakkan sijil pendaftaran pengamal perubatan tradisional puan sebagai simbolik perasmian nanti.” Tambah saya lagi setelah menarik nafas lega, “Saya percaya penduduk setempat akan menjadi waras dalam sekelip mata.”

 
 
Advertisement