Anda di sini

Program bimbingan INSKEN catat peningkatan jualan RM13.3 juta

Advertisement
 Ewon ketika hadir merasmikan majlis Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023.
RASMI: Ewon ketika hadir merasmikan majlis Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023.

KUALA LUMPUR: Program-program bimbingan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sepanjang tahun ini berjaya mencatatkan peningkatan jualan sebanyak RM13.3 juta daripada 809 peserta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia dicapai hasil usaha dan penglibatan kukuh semua pihak termasuk Industri Coach INSKEN dan pasukan kerja INSKEN.

Katanya, secara keseluruhan pencapaian program-program bimbingan INSKEN sepanjang tahun ini sangat membanggakan.

“Pada tahun ini kementerian menerima banyak input secara terus melalui sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan mewakili persatuan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan agensi-agensi kerajaan. 

“Antaranya mereka mahu lebih banyak latihan keusahawanan dianjurkan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana termasuk usahawan informal.

“Justeru, saya melihat peranan INSKEN sangat besar dalam membantu kelangsungan para usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023 iaitu Program Bimbingan Usahawan Permulaan (Start-Up Coaching), INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu, di Tenera Hotel Bangi, di sini hari ini.

Ewon berkata, pendekatan program INSKEN yang berkonsepkan daripada usahawan kepada usahawan menunjukkan kejayaan.

“Program-program bimbingan INSKEN ini dijayakan oleh Industry Coach yang merupakan pemain atau pakar dalam sesuatu industri.

“Oleh itu, dengan pengalaman serta kepakaran mereka sepanjang berkecimpung dalam industri tersebut, ia dapat dimanfaatkan serta disalurkan melalui teknik bimbingan kepada para peserta.

“Pendekatan ini memberikan perkembangan positif melalui keberhasilan program yang diukur pada akhir program,” katanya.

Beliau berkata, peserta bimbingan INSKEN berjaya meningkatkan skor diagnostik perniagaan sebanyak 188 peratus hasil daripada Program Start-Up Coaching serta RM8.6 juta peningkatan jualan daripada Program IBBC dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

“Lanjutan itu, 55 peratus peserta daripada Program IBBC dan Program Bimbingan Keuntungan Menu telah mencatatkan peningkatan jualan melebihi 20 peratus dan 156 pekerjaan baru telah dicipta melalui Program IBBC.

“Lebih membanggakan apabila nilai gandaan dicipta daripada Program IBBC dan Program Bimbingan Keuntungan Menu adalah 4.2. Ini bermaksud, setiap RM1 yang dibelanjakan, pulangan kepada ekonomi dicipta adalah RM4.20 melalui kedua-dua program tersebut,” katanya.

Selain itu katanya, seramai 13 usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga bertukar status perniagaan daripada kategori mikro kepada kecil, dimana purata jualan selepas program tamat adalah RM388,000.

“Saya gembira melihat kemajuan usahawan tempatan sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Program bimbingan INSKEN dijayakan dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) meliputi pelbagai negeri di seluruh negara daripada Sabah, Sarawak, Perak, Johor, Selagor, Kuala Lumpur dan lain-lain.

“Hasil kolaborasi ini dapat membantu meningkatkan prestasi sahabat-sahabat AIM ke peringkat seterusnya dan memberikan impak positif kepada ekosistem keusahawanan negara kita,” kata Ewon.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kuskop Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin.

Pada majlis itu seramai 484 usahawan berjaya menamatkan program-program bimbingan INSKEN yang berlangsung antara 3 hingga 6 bulan.

  • oleh
  • Advertisement