Anda di sini

KUSKOP sedia pelbagai pembiayaan khusus golongan wanita

Advertisement
 Ewon (tengah) bersama barisan ahli jawatankuasa tertinggi Desanita memotong kek sempena ulang tahun pertubuhan itu.
HADIR: Ewon (tengah) bersama barisan ahli jawatankuasa tertinggi Desanita memotong kek sempena ulang tahun pertubuhan itu.

PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensinya menyediakan pelbagai pembiayaan keusahawanan khusus untuk golongan wanita.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara agensi itu ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang hampir semua pelanggannya adalah wanita.

Selain itu, katanya, program TekunNita di bawah TEKUN Nasional dan Program Pemerkasaan Usahawan Wanita di bawah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) turut dikhaskan untuk golongan wanita.

“Skim pembiayaan BRPlus-iBizLady dan program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) juga boleh dimanfaatkan oleh usahawan wanita.

“Saya juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan Wanita dan OKU untuk memperluaskan libat urus dengan golongan wanita terkait dengan aspirasi pembangunan keusahawanan.

“Justeru, saya berharap Pertubuhan Pembangunan Wanita Desa (DESANITA) dapat memainkan peranan lebih progresif untuk membangunkan sektor keusahawanan dalam kalangan wanita di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun DESANITA dan Angkat Sumpah bagi ahli-ahli jawatankuasa tertinggi pertubuhan itu, di sini, semalam.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, selain pembiayaan khusus untuk wanita, beliau juga telah memperkenalkan beberapa skim baharu yang boleh dipohon oleh wanita.

“Ia termasuklah Skim Pembangunan Usahawan Tamu dan penaik tarafan gerai-gerai keusahawanan desa khusus untuk Sabah dan Sarawak.

“DESANITA mempunyai peranan membantu saya memberikan cadangan atau menyediakan satu modul latihan keusahawanan khusus yang boleh memberi manfaat kepada usahawan wanita,” katanya.

Beliau berkata, peranan wanita sangat penting bukan setakat mengurus keluarga tetapi dalam hal-hal kepimpinan dan pembangunan negara.

“Sebab itu saya telah melantik ramai wanita sebagai ahli lembaga pengarah di agensi-agensi KUSKOP sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan wanita.

“Kementerian saya mempunyai 10 agensi dan semuanya mempunyai wakil wanita, tiga daripadanya dari Sabah iaitu Mary Jim, Rowindy Lawrence dan Mohini Sidom.

“Saya mahu penglibatan wanita Sabah menonjol dalam agensi-agensi terutamanya yang diletakkan di bawah KUSKOP,” katanya.

Ewon berkata, setahun menerajui KUSKOP, semua agensi kementerian telah turun padang melaksanakan banyak program dan memberikan yang terbaik kepada rakyat Sabah.

“Rakan-rakan kabinet ada yang melebalkan saya sebagai ‘Menteri Sabah’ kerana semua agensi saya di bawa ke Sabah.

“Bagaimanapun, saya perlu berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia dan mengatakan bahawa tanpa mengurangkan fokus sedia ada, saya mahu memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement