Anda di sini

Ewon sambut baik hasrat DESANITA tubuhkan koperasi

Advertisement
 Ewon disambut mesra ahli-ahli DESANITA pada majlis itu.
SAMBUT: Ewon disambut mesra ahli-ahli DESANITA pada majlis itu.

PENAMPANG: Hasrat Pertubuhan Pembangunan Wanita Desa (DESANITA) Pantai Barat Sabah, menubuhkan koperasi bagi membantu menjana pendapatan ahli-ahlinya dilihat sangat baik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya sangat menyokong dan menyambut baik hasrat murni pertubuhan berkenaan.

Ewon berkata, pihaknya sudah meminta DESANITA berkenaan menghubungi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi mempermudahkan urusan pendaftaran.

“Saya juga sudah meminta mereka mengadakan perjumpaan bersama agensi dibawah KUSKOP seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corp.  

“Ia bagi membolehkan mereka membina gerakan keusahawanan khususnya dalam kalangan ahli-ahlinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan makan malam sempena sambutan Ulang Tahun Desanita, di sini, semalam.

Katanya, DESANITA adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah ditubuhkan sejak 20 tahun yang lalu.

“Pertubuhan ini sangat aktif membantu membangunkan wanita dalam kepimpinan, keusahawanan, kebajikan dan program-program kemasyarakatan,” katanya  

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pihaknya juga bersetuju memberikan geran tahuan pentadbiran sebanyak RM50,000 daripada peruntukan khas menteri pada tahun depan.

“Geran itu sebagai sokongan saya terhadap DESANITA bagi meneruskan program kemasyarakatan dan keusahawanan di negeri ini.

“Saya berharap dengan adanya geran ini, lebih ramai lagi wanita terlibat dalam pembangunan kepimpinan, keusahawanan, pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu Presiden DESANITA Clarice Irine Benedict Moiji menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas kemurahan hatinya memberikan sumbangan kepada pertubuhan itu.

“Sumbangan itu, kami akan digunakan untuk melaksanakan program-program yang telah dirancang tahun ini.

“Ia termasuklah acara Krismas, melawat rumah anak yatim, projek pendidikan, kesihatan, kebajikan dan program komuniti untuk wanita di luar bandar,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement