Anda di sini

UDA intai prospek pembangunan hartanah di Sabah

Advertisement
 Ewon (tengah) menyempurnakan acara gimik perasmian majlis itu.
RASMI: Ewon (tengah) menyempurnakan acara gimik perasmian majlis itu.

KOTA KINABALU: UDA Holdings Berhad (UDA) agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang akan meninjau prospek pembangunan hartanah di negeri ini.

Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick berkata, UDA menyediakan produk hartanah merangkumi kediaman serta komersial untuk bersama-sama kerajaan meningkatkan taraf kehidupan serta sosioekonomi masyarakat tempatan.

“Saya berharap UDA akan terus produktif dalam menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti serta memperkasa golongan usahawan terutamanya memperkasa Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Kementerian akan sentiasa memberi dorongan kepada agensi serta memantau setiap langkah yang diambil bagi menyumbang kepada perpaduan serta hala tuju Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival UDA 2023 @ Sabah di, Lintasan Deasoka, di sini, hari ini.

Ewon berkata, penganjuran karnival ini menunjukkan UDA sentiasa komited dalam mendekati masyarakat dan membantu meningkatkan taraf kehidupan seiring dengan fungsi dan peranannya dalam mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia.

“Platform USHANiaga yang dimuatkan dalam karnival ini juga memberi peluang serta membantu usahawan tempatan mempromosikan produk-produk yang diusahakan,” katanya.

Beliau berkata, usaha menghimpunkan usahawan dan agensi KUSKOP menunjukkan UDA ini sentiasa proaktif untuk bersama-sama kementerian memperkasa golongan usahawan.

   “Program MARI dan KIRANA yang disediakan oleh UDA selari dengan salah satu fokus kementerian iaitu meningkatkan penyertaan PMKS dalam sektor bernilai tinggi serta menembusi pasaran global,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata, UDA mensasarkan 100 usahawan dalam karnival ini di Sabah yang merangkumi pelbagai jenis perniagaan antaranya makanan, fesyen, aksesori, produk kesihatan dan perkhidmatan, dengan nilai sasaran jualan RM2 juta.

“Selain itu, pameran dari agensi kerajaan pusat dan negeri serta unit beruniform turut dimuatkan dalam karnival selama tiga hari yang bermula pada 24 hingga 26 November ini,” katanya.

Beliau yakin, Karnival UDA berjaya mencapai sasaran 500 usahawan bagi empat lokasi penganjuran tahun ini iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Perak pada Disember ini, dengan nilai jualan RM10 juta.

“Melihat kepada penyertaan hampir 300 usahawan serta pencapaian jualan berjumlah RM5.48 juta dalam Karnival UDA yang telah dilaksanakan di Johor dan Pulau Pinang, saya percaya UDA mampu mencapai sasaran itu tahun ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement