Anda di sini

KUSKOP cadang Dasar Pandang ke Timur Dalam Negara

Advertisement
 Ewon (dua kanan) merakamkan gambar kenangan ketika majlis penyerahan sumbangan zakat usahawan asnaf.
ALBUM: Ewon (dua kanan) merakamkan gambar kenangan ketika majlis penyerahan sumbangan zakat usahawan asnaf.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) cadang supaya kerajaan melaksanakan ‘Dasar Pandang ke Timur Dalam Negara’ bagi membangunkan potensi ekonomi di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pentadbiran terdahulu pernah menjadikan negara Jepun sebagai asas dan contoh pembangunan melalui dasar pandang ke Timur.

Katanya, Indonesia juga sudah meletakkan wawasan dan fokus besar membangunkan Kalimantan untuk projek ibu kota Nusantara mereka.

“Sarawak pula sudah berada jauh di depan dalam ekonomi berasaskan teknologi hijau dan industri air, maka sudah tentu Sabah juga mempunyai potensi tersendiri untuk dibangunkan.

“Justeru, saya cadangkan agar dasar ini dapat dibangunkan dengan memberi fokus tambahan membangunkan Malaysia Timur, iaitu Sabah dan Sarawak sebagai pusat ekonomi baharu,” katanya.  

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival UDA Sabah di Lintasan Deasoka di sini, hari ini.

Ewon berkata, wawasan dan dasar baharu yang beliau cadangkan itu sesuai dengan semangat kebersamaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Menurutnya, semua tahu bahawa tanpa Sabah dan Sarawak tidak mungkin negara Malaysia wujud pada tahun 1963.

“Maka, wawasan kita bukan hanya menuntut Perjanjian Malaysia dilaksanakan tetapi kita mahu satu tumpuan yang lebih baik melibatkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Ia bagi membangunkan sektor ekonomi dan keusahawanan di Sabah, membangunkan potensi ekonomi baharu di wilayah ini sepertimana dilaksanakan negara yang berjiran di kepulauan ini,” katanya.

Katanya, antara sektor yang berpotensi untuk dibangunkan di negeri ini ialah pelancongan dan pertanian pintar.

“Pertanian pintar di Sabah boleh dibangunkan memandangkan kita mempunyai aset iaitu tanah dan populasi penduduk di sini juga agak besar.

“Malah, Sabah juga strategik kerana berjiran dengan Kalimantan, Indonesia yang sedang membina kekuatan ekonomi di kawasan Kepulauan Borneo,” katanya.

Katanya, pertanian juga adalah antara lapan fokus pembangunan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara kita, sebab itu saya ingin melihat Sabah menyahut tumpuan ini.

“Saya mengakui sektor pertanian adalah antara tumpun kerajaan Sabah selama ini, namun ia boleh ditambah baik dengan memberi tumpuan baharu iaitu pertanian pintar,” katanya.

Mengenai Karnival UDA, Ewon berkata, ia dapat menambah baik, memperkasa dan melipat gandakan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan rakyat Sabah agar menjadi sebahagian daripada pemain industri di negara ini bermula sebagai usahawan PMKS.

Katanya, dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan dalam pameran, saya percaya ia juga boleh menghebahkan maklumat-maklumat dan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi tersebut.

KUSKOP telah mengadakan pelbagai program antaranya, Hari Koperasi Negara (HKN), Bulan Koperasi Kebangsaan, Minggu PMKS, Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan pada 7 hingga 9 Disember ini.

“Ini menunjukkan KUSKOP dan agensi-agensi persekutuan telah memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia di Sabah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement