Anda di sini

KUSKOP cadang tambah DC koperasi, naik taraf CoopMart sebagai pusat pengedaran: Ewon

Advertisement
 Ewon ketika menjawab soalan  Rodiyah pada sesi MQT di Dewan Rakyat di sini.
JAWAPAN: Ewon ketika menjawab soalan Rodiyah pada sesi MQT di Dewan Rakyat di sini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bercadang menambah bilangan pusat pengedaran utama (DC) koperasi dalam cadangan inisiatif penstabilan harga barangan keperluan asas melalui gerakan koperasi.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pada masa ini Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai dua DC dan lima DC dicadang untuk ditambah di Sarawak tahun ini manakala sebuah lagi akan ditambah di Sabah tahun hadapan.

“Cadangan penambahan DC ini dilaksanakan dalam Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) bagi menaiktaraf CoopMart sebagai pusat pengedaran koperasi.

“Usaha ini juga mampu mengurangkan kos logistik di mana geran bantuan sehingga RM300,000 disediakan kepada koperasi yang layak untuk dibangunkan menjadi DC,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee yang bertanyakan dapatan kajian menilai keberkesanan subsidi dalam mengurangkan kos pengangkutan barangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pemberian subsidi pengangkutan untuk barangan keperluan harian dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak menerusi gerakan koperasi dapat membantu menstabilkan harga barangan keperluan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“KUSKOP dan SKM juga sudah mengenal pasti inisiatif serta mekanisme yang boleh membantu menstabilkan harga barangan keperluan asas melibatkan gerakan koperasi melalui penyediaan insentif bagi membiayai kos pengangkutan. 

“Melalui cadangan inisiatif ini, pusat pengedaran atau sub pusat pengedaran koperasi serta premis CoopMart di Sabah dan Sarawak akan membantu menstabilkan harga barangan keperluan harian di kawasan pedalaman di samping membantu penjanaan pendapatan koperasi terlibat. 

“Perincian inisiatif ini juga sedang diselaraskan di peringkat kementerian dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pertimbangan peruntukan dan tindakan penyelarasan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata cadangan inisiatif penstabilan harga barangan keperluan harian ini adalah bagi melengkapkan usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi inisiatif harga Rahmah dalam menyediakan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah.

  • oleh
  • Advertisement