Anda di sini

YBR, IEF komited martabat bahasa sebagai cabang pendidikan

Advertisement
 Ewon (tiga kiri) dan Philip (empat kiri) pada majlis Pelancaran Program BEST di SK Moyog Penampang. Turut kelihatan Bernard (dua kiri).
BEST: Ewon (tiga kiri) dan Philip (empat kiri) pada majlis Pelancaran Program BEST di SK Moyog Penampang. Turut kelihatan Bernard (dua kiri).

PENAMPANG: Program 'Be English Speaker Today For A Better Tomorrow' (BEST) usaha memartabatkan bahasa sebagai salah satu cabang pendidikan.

Program anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama INDEP Education Foundation (IEF) itu melibatkan seramai 390 murid dan 90 guru sekolah di sekitar luar bandar.

Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, pihaknya komited dalam menganjurkan program berkenaan yang akan dilaksanakan di sembilan lokasi di negeri ini.

Katanya, objektif program itu bagi memupuk pelajar untuk menghargai bahasa Inggeris dan terus memacu meningkatkan kefasihan serta ketepatan penggunaan bahasa Inggeris.

Menurutnya, ia juga bertujuan membangunkan keyakinan murid dalam menyatakan diri mereka dengan berkesan melalui bahasa Inggeris secara formal atau tidak formal.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa menyokong segala bentuk program pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan pelajar terutamanya di Sabah melalui pemerkasaan tahap pendidikan.

"Penganjuran Program BEST ini adalah salah satu langkah alternatif dalam membantu tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid serta mewujudkan persekitaran yang kompeten di sekolah.

"Melalui BEST, ia dapat mengembangkan usaha dalam memastikan tahap penggunaan bahasa antarabangsa diberikan kepada semua peringkat terutamanya pelajar sekolah.

"Selain itu faktor guru-guru juga memainkan peranan yang penting kerana mereka perlu menyediakan modul pembelajaran dan ini merangsang penggunaan bahasa serta kefasihan bertutur serta tahap penguasaan bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Program BEST yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick  di Sekolah Kebangsaan (SK) Moyog di sini semalam. 

Sementara itu, Ewon berkata, sokongan padu YBR dalam membantu tahap pendidikan anak-anak Sabah dalam menangani jurang pendidikan serta mewujudkan input linguistik dalam kalangan pelajar sama ada di bandar atau di luar bandar amatlah dihargai.

"Usaha sebegini mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di Sabah.

"Selain itu, ia meningkatkan kesedaran mengenai fungsi bahasa Inggeris serta keyakinan diri pelajar untuk menggunakan bahasa ini sebagai antara bahasa yang mudah digunakan selain bahasa kebangsaan," jelasnya. 

Ewon berkata, guru-guru berpengalaman turut terlibat dalam program ini bagi memastikan pelajar yang menyertai program ini dapat memperkasa dan menguasai bahasa Inggeris.

Turut hadir, Pengerusi IEF Tan Sri Bernard Dompok; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
 

  • oleh
  • Advertisement