Anda di sini

Masyarakat Ranau bakal nikmati perkhidmatan Bank Rakyat

Advertisement
 Ewon ketika merasmikan pembukaan cawangan baharu Bank Rakyat di Ranau.
RASMI: Ewon ketika merasmikan pembukaan cawangan baharu Bank Rakyat di Ranau.

RANAU: Bank Rakyat terus komited dalam memastikan setiap segmen masyarakat mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan.

Berikutan itu, pembukaan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change yang akan memanfaatkan 85,000 penduduk di daerah ini.

Majlis perasmian pembukaan cawangan baharu ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. 

Ewon berkata, Rakyat Xcess menawarkan rangkaian kemudahan perbankan yang boleh diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti pembukaan akaun simpanan. 

Manakala katanya, Ar-Rahnu X'Change pula menyediakan pembiayaan patuh Syariah bercagarkan emas iaitu Skim Pembiayaan Pajak Gadai-i yang mudah dan pantas.

Katanya, inisiatif perluasan rangkaian perbankan itu adalah amat selari dengan komitmen berterusan kementerian dalam memenuhi mandat yang didukung untuk membantu membangunkan penduduk luar bandar menerusi penyediaan pelbagai penyelesaian kewangan serta perbankan yang bersesuaian dengan keperluan individu dan perniagaan.

“Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X'Change di Ranau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan ini juga amat sejajar dengan matlamat kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawanan di Sabah. 

"Inisiatif ini juga amat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani untuk menyediakan kebolehcapaian ekosistem kewangan yang lebih inklusif,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengukuhkan rangkaian perniagaannya di setiap pelusuk negara tidak kira di bandar mahu pun di luar bandar.

Katanya, ia demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya dan bukan hanya mementingkan keuntungan serta operasi perniagaannya semata-mata.

“Saya juga percaya bahawa cawangan yang dilengkapi dengan fasiliti dan perkhidmatan termasuk produk pembiayaan, simpanan serta pelbagai perkhidmatan lain ini akan memanfaatkan lebih 85,000 orang penduduk Ranau serta kawasan sekitarnya, khususnya dalam melaksanakan urusan perbankan yang mudah, selamat dan pantas,” katanya.
Pada majlis yang sama, Bank Rakyat turut menyerahkan hadiah cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus berjumlah RM100,000 kepada pemenang cabutan bulan Oktober 2023 bersempena dengan ulang tahun Bank Rakyat yang ke-69.

Bank Rakyat kini menawarkan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta dengan hadiah utama berjumlah RM1 juta.
Cabutan bagi hadiah terbaharu ini bermula awal Ogos lalu sehingga Januari 2025. Setakat ini, jumlah keseluruhan pelaburan adalah sebanyak RM139 juta melibatkan lebih 24 ribu pemegang akaun.
Di samping itu, tarikh akhir cabutan bagi pemenang hadiah RM1 juta akan diadakan pada bulan Januari 2024.

Justeru, Bank Rakyat menyeru orang ramai untuk melanggan dan melabur menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sebelum 31 Disember ini untuk berpeluang menjadi jutawan.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan Program Kasih Wira Negara kepada tiga waris perwira Polis Diraja Malaysia yang terkorban dalam insiden pertempuran di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara.

Walaupun sudah sedekad insiden ini berlaku, namun pengorbanan mereka tidak seharusnya dilupakan. Semoga dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban serta memberi sokongan dan keceriaan kepada para waris.

Selain itu, Bank Rakyat juga telah melaksanakan aktiviti pengindahan termasuk mengecat dan membaik pulih hentian bas dan pejalan kaki di bawah program kesukarelawanan BaktiRAKYAT pada 28 Oktober 2023 yang melibatkan seramai 38 warga kerja Bank Rakyat dengan kerjasama Majlis Daerah Ranau.

Inisiatif ini seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25), bagi meningkatkan nilai kerjasama, memupuk semangat berkumpulan, mengikis sikap pentingkan diri dan cakna kepada persekitaran budaya komuniti.

  • oleh
  • Advertisement