Anda di sini

Politeknik Mukah raih anugerah khas juri pada Pertandingan Keusahawanan Sosial

Advertisement
Antara pelajar PMU yang membantu golongan OKU melalui penghasilan Sos Cili Nana.
Antara pelajar PMU yang membantu golongan OKU melalui penghasilan Sos Cili Nana.

MUKAH: Pelajar Politeknik Mukah (PMU) berjaya merangkul anugerah khas juri pada Pertandingan Keusahawanan Sosial anjuran Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan kerjasama PKT Sdn Bhd yang berlangsung di Kampus The Ship, Pulau Pinang baru-baru ini.

Kumpulan yang terdiri daripada 10 pelajar itu telah melaksanakan projek penghasilan sos cili.

Apa yang uniknya, projek berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh golongan orang kelainan upaya (OKU) daripada Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) OKU Gemilang Jepak Bintulu dengan jenama Sos Cili Nana.

Mereka melatih usahawan OKU tersebut untuk menghasilkan sos cili terbabit, seterusnya memasar serta mengedarkan produk itu.

Semuanya diuruskan oleh pelajar bersama-sama dengan penglibatan usahawan OKU berkenaan.

Pertandingan yang berlangsung selama lima bulan itu menyaksikan usaha gigih pelajar PMU dalam mengubah nasib dan pendapatan warga OKU yang terdiri daripada sindrom Down, autisme dan lembam agar mampu menjana pendapatan sendiri.

Seterusnya, projek berkenaan juga memastikan kehidupan mereka akan lebih baik setanding pengusaha lain.

Menurut mentor Sos Cili Nana Ahmad Syakir Kadimin, warga OKU sentiasa kurang diberi perhatian hanya kerana mereka memiliki kekurangan dan bergantung kepada penjaga.

"Ini adalah inisiatif kami agar masyarakat menyedari akan kemampuan warga OKU seterusnya memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk bersama-sama dalam aktiviti ekonomi," jelasnya.

Sepanjang pelaksanaan program itu, Sos Cili Nana telah berjaya merekodkan jualan sebanyak 7,000 botol sos cili yang dipasarkan di Mukah, Bintulu dan Miri.

Sokongan daripada syarikat swasta juga amat membantu dalam memasarkan produk tersebut seperti The Spring Mall Bintulu, Emart dan Sarawak Oil Plam Bhd.

Selain memberi sumbangan, mereka turut menyokong program itu.

Kejayaan yang diperolehi oleh pelajar bukan hanya membanggakan warga PMU, malah turut menonjolkan keprihatinan PMU dalam membantu komuniti dan masyarakat setempat terutama golongan rentan.
 

  • oleh
  • Advertisement