Anda di sini

DAM sekali lagi gesa kerajaan negeri sokong usaha hidupkan semula Borneo Literature Bureau 

Advertisement
Dr Nuing (empat kiri) dan Penghulu Wilfred (dua kiri) merakamkan kenangan bersama Mike Rawing, Patriricia dan dan Refalina (masing-masing dari lima, enam dan tujuh kiri) serta para peserta final yang lain dan para hakim.
Dr Nuing (empat kiri) dan Penghulu Wilfred (dua kiri) merakamkan kenangan bersama Mike Rawing, Patriricia dan dan Refalina (masing-masing dari lima, enam dan tujuh kiri) serta para peserta final yang lain dan para hakim.

MIRI: Persatuan Dayak Miri (DAM) sekali lagi menggesa kerajaan negeri untuk menyokong usaha menghidupkan semula Borneo Literature Bureau (BLB) bagi mewujudkan platform bagi memperkasakan bahasa Iban di negeri ini. 

Senator Datuk Dr Nuing Jeluing turut mencadangkan agar BLB diletakkan bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebagai satu unit kecil yang akan memantau dan bertanggungjawab ke atas pelaksanaan Bahasa Iban. 

Beliau mengulangi semula perkara itu semasa berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Pidato Bahasa Iban Piala YB Senator Datuk Dr Nuing Jeluing, anjuran Pemuda DAM Miri di Pustaka Negeri, Miri hari ini. 

Mengulas lanjut, Dr Nuing yang juga Penasihat DAM berkata usaha menghidupkan semula BLB itu turut membantu penggiat bahasa Iban di negeri ini, khususnya golongan intelektual dan profesional dalam bahasa Iban, menggunakan unit itu kelak sebagai saluran untuk memperkasakan bahasa Iban di Sarawak. 

"Tahun lepas, kita ada membuat perbincangan mengenai perkara ini dan kita juga pernah menyuarakan cadangan ini pada awal tahun lalu, namun sehingga kini 'senyap' sahaja tanpa sebarang maklum balas daripada pihak terbabit," katanya. 

Beliau memberitahu, DAM tidak akan berputus asa dan akan terus membuat tindakan susulan dengan DBP kelak. 

Dalam pertemuan yang sama dengan pemberita petang tadi juga, Presiden DAM Penghulu Wilfred Mac berkata DAM turut menggesa kerajaan negeri supaya mempercepatkan cadangan mereka yang mahu membina satu Yayasan Bahasa Iban di negeri ini. 

Wilfred berkata, cadangan itu pernah disuarakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada tahun 2017 pada satu persidangan antarabangsa bahasa Iban yang diadakan pada tahun berkenaan. 

"Tetapi yayasan ini juga 'senyap' sahaja tanpa khabar berita sehingga kini. Justeru kami, DAM mahu menggesa agar cadangan ini diberi perhatian semula dan dipertimbangkan segera penubuhannya," ujar beliau. 

Sementara itu, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Marudi Mike Rawing Chris Christopherson muncul juara pidato dengan membawa pulang Piala YB Senator Datuk Dr Nuing Jeluing dan wang tunai RM750 dan sijil. 

Tempat kedua ialah Patriricia Lalang Juman (SMK Marudi) yang membawa pulang RM600 dan sijil, manakala pemenang tempat ketiga ialah Refalina Tarum dari Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri yang memenangi wang tunai RM350 dan sijil. 

Tujuh peserta pusingan akhir yang lain masing-masing menerima sijil. 
 

Advertisement