Anda di sini

Ewon lancar pembiayaan BMFI Alumni TUBE

Advertisement
 Ewon (tengah) ketika hadir menyempurnakan Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah.
HADIR: Ewon (tengah) ketika hadir menyempurnakan Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan pembiayaan Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI) khusus untuk alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).

Ewon berkata, Program BMFI adalah bantuan pembiayaan baharu dilaksanakan oleh SME Corp dengan kerjasama Funding Societies Malaysia (Modalku Ventures Sdn Bhd).

“Pembiayaan khas ini untuk Alumni TUBE yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka dengan kadar pinjaman kompetitif iaitu sebanyak dua peratus maksimum sehingga RM100,000.

“Saya berharap pembiayaan ini akan memberi manfaat kepada usahawan belia khususnya Alumni TUBE untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sesi Temu Mesra (Meet & Greet) bersama Alumni TUBE 2023 Sabah di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, di sini, semalam.

Ewon berkata, berdasarkan laporan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini, usahawan ini berjaya menyumbang 48 peratus kepada sektor guna tenaga rakyat negara ini termasuk di Sabah.

“Sebab itu, kita lancarkan pembiayaan BMFI supaya sektor PMKS terus berkembang dan memberikan pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Para belia dan golongan muda perlu bersikap lebih proaktif untuk memajukan diri dan keluar daripada zon selesa sebagai ‘pencari pekerjaan’ kepada ‘penjana pekerjaan’ seiring dengan arus perdana,” katanya.

Sehubungan itu katanya, dalam Bajet 2024, sebanyak RM44 bilion diperuntukkan untuk kemudahan pinjaman dan pembiayaan kepada usahawan PMKS.

“Ini membuktikan komitmen besar kerajaan bagi memastikan syarikat PMKS terus berkembang bukan sekadar menyediakan pekerjaan kepada rakyat Malaysia tetapi menyumbang kepada KDNK seterusnya melonjakkan ekonomi negara agar lebih berdaya saing dan kalis cabaran,” katanya.

Sejak Program TUBE diperkenalkan pada tahun 2014, sejumlah RM20.65 juta nilai jualan berjaya direkodkan oleh alumni program itu.

Secara keseluruhan nilai jualan terkumpul yang dicatatkan oleh peserta TUBE dari seluruh negara adalah sebanyak RM154.38 juta.

  • oleh
  • Advertisement