Anda di sini

Nasib enam lagi tertuduh kes sebabkan kematian lelaki di Batu Kawa diketahui 7 Dis

Advertisement
Albert (tiga kiri) dan Ashley (empat kiri, berbaju merah) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum semalam.
Albert (tiga kiri) dan Ashley (empat kiri, berbaju merah) diiring polis keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukum semalam.

KUCHING: Mahkamah Majistret pada Jumaat menetapkan 7 Disember akan datang bagi sebutan semula kes menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 51 tahun tanpa niat, dalam satu kes tular di sebuah hotel di Batu Kawa di sini pada 30 Oktober lepas.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tarikh itu bagi empat pesalah muda dan dua pesalah kanak-kanak berusia antara 15 hingga 18 tahun yang terlibat sama dalam kejadian itu selepas mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Jelasnya, tarikh itu bagi sebutan semula kes untuk mendengar laporan sosial dan laporan akhlak membabitkan kesemua tertuduh.

Sementara menunggu tarikh tersebut, kesemua tertuduh dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM5,000 berserta ibu atau bapa masing-masing sebagai penjamin.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Jumaat di kamar mahkamah yang sama, dua pemuda masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 51 tahun tanpa niat, dalam satu kes tular di sebuah hotel di Batu Kawa di sini pada 30 Oktober lepas.

Majistret Zubaidah memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh, Ashley Austin Chin, 25, dan Albert Chin Quan Yan, 22, untuk dikuat kuasakan mulai semalam.

Kedua-duanya mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama empat pesalah muda, dua pesalah kanak-kanak dan dua lagi individu yang masih bebas didakwa dengan niat bersama melakukan kesalahan itu pada 30 Oktober 2023 antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi di tangga sebuah hotel di MJC Batu Kawa di sini. 

Fakta kes mendedahkan majikan mangsa (pengadu) mendapati pekerjanya (mangsa) telah dipukul oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. 

Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Batu Kawa sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) pada hari kejadian.

Bagaimanapun, setibanya mangsa di wad ICU, mangsa koma dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan pernafasan oksigen untuk kelangsungan hidup. 

Keadaan ini berlarutan sehinggalah mangsa disahkan meninggal dunia pada 1 November 2023. 

Laporan polis dibuat sehingga membawa kepada penangkapan kesemua tertuduh secara berperingkat antara 31 Oktober hingga 2 November 2023. 

Hasil siasatan mendapati pada hari kejadian, Ashley memanggil rakan-rakannya (tertuduh-tertuduh) yang sedang minum di pub berdekatan untuk pergi ke hotel itu dengan tujuan mencari isteri Ashley di hotel itu, sebelum terjumpa dengan mangsa. 

Seterusnya, berlaku salah faham antara mereka dan keadaan menjadi tidak terkawal sehingga kesemua tertuduh bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia setelah mengalami kecederaan kepala akibat trauma hentakan objek tumpul. 

Doktor juga mengesahkan punca kecederaan tersebut terjadi apabila mangsa dipukul dengan tangan atau objek yang keras dan tumpul seperti kayu, batu dan seumpamanya.
 

Advertisement