Anda di sini

Koperasi diminta aplikasi platform teknologi digital: Ewon

Advertisement
 Ewon ketika hadir merasmikan Program Bicara Ilmu anjuran IKMa, di sini.
RASMI: Ewon ketika hadir merasmikan Program Bicara Ilmu anjuran IKMa, di sini.

KAPIT: Koperasi diminta mengaplikasi teknologi digital khususnya dalam bidang perniagaan supaya terus kekal berdaya saing dan relevan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya telah melancarkan Pelan Tindakan Pendigitalan Koperasi bagi mengukuhkan keupayaan teknologi koperasi.

“Peralihan perniagaan konvensional kepada platform teknologi digital dan pembayaran dalam talian dilihat sangat penting terutamanya konsep perniagaan baharu.

“Justeru, saya berharap produk-produk keluaran Sarawak khasnya di Kapit mampu dikembangkan lagi kebolehpasarannya dan menembusi pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bicara Ilmu ‘Menerokai Keindahan Berkoperasi: Apa Manfaatnya’ yang dianjurkan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di sini pada Ahad.

Mengenai program itu, Ewon berharap, ia dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan penubuhan koperasi.

“Sesi pada hari ini adalah wadah menimba ilmu, mengumpul idea dan maklumat, serta membina jaringan korporat dan perniagaan antara koperasi, agensi serta peserta.

“Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program ini dan diharapkan usaha sebegini akan diteruskan ke arah memartabatkan potensi koperasi di bumi Kenyalang,” katanya.

Sementara itu, katanya, sektor koperasi telah menyumbang secara signifikan kepada prestasi ekonomi negara sepanjang tahun 2022 dan 2023.

Menurutnya, pada tahun lalu, sektor koperasi di Malaysia menyumbang sebanyak RM46.5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Usaha koperasi mempelbagaikan aktiviti perniagaan terutamanya dalam sektor kewangan, perladangan, pertanian, hartanah, perkhidmatan dan pengguna membolehkan ia terus menyumbang dalam pelbagai aspek ekonomi.

“Dengan jumlah keahlian melebihi tujuh juta dan koperasi berdaftar lebih 15,000 di seluruh negara sehingga 31 Disember lalu, koperasi perlu terlibat secara aktif dalam proses pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Ewon berkata, kepelbagaian aktiviti perniagaan koperasi juga menjadi ejen penjanaan pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan.

“Saya dimaklumkan di Kapit ini kaya dengan hasil tani dan buah-buahan tempatan seperti durian, dabai dan terung asam selain daripada produk kraftangan serta hasil seni tangan.

“Produk-produk ini mempunyai permintaan yang tinggi jika dipasarkan dengan sebaiknya. Oleh itu penggunaan media sosial perlu diperhebatkan bagi tujuan promosi dan pemasaran,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut bersetuju menyalurkan Bantuan Geran sebanyak RM20,000 kepada Koperasi Desa Lestari Sungai Sut Berhad.

Manakala, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Sut Benggau Andah diberi peruntukan sebanyak RM26,000 bagi kemudahan Rumah Panjang Benggau Andah.   

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang; Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut; Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa Mohd Yahya Mat Sahri dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar.

Terdahulu, IKMa adalah satu-satunya agensi di bawah KUSKOP yang bertanggungjawab dalam pendidikan dan latihan koperasi.

Agensi ini sentiasa merancang dan memperkasakan pendidikan koperasi mengikut keperluan dan keadaan semasa.

Selain menjalankan kursus, IKMa turut menjalankan penyelidikan, program khidmat nasihat dan bimbingan kepada koperasi.

  • oleh
  • Advertisement