Anda di sini

Lapangan terbang Hamburg ditutup selepas lelaki rempuh premis, lepas tembakan ke udara

Advertisement
 

HAMBURG (Jerman): Polis Hamburg, Jerman percaya bahawa pertikaian hak penjagaan anak mungkin menjadi punca seorang lelaki bersenjata menyerbu lapangan terbang antarabangsa Hamburg, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Terdahulu pada Sabtu, media melaporkan bahawa lapangan terbang antarabangsa Hamburg terpaksa ditutup kepada semua penerbangan keluar dan masuk selepas seorang lelaki merempuh penghadang keselamatan dengan kenderaannya dan meluru ke arah landasan, sebelum melepaskan dua das tembakan ke udara.

Menurut maklumat yang diperoleh setakat ini, kanak-kanak yang bersama lelaki itu berada dengan ibunya pada Sabtu.

Polis percaya bapa berkenaan "mengambil anak" daripada ibunya, mungkin secara paksa, sebelum memandu ke Hamburg dan ke landasan lapangan terbang itu, kata jurucakap polis pada petang Sabtu ketika ditanya mengenai kejadian itu.

Pasukan petugas khas polis dan ahli psikologi polis berada di tempat kejadian.

Lelaki berusia 35 tahun itu dilaporkan membawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun di dalam kenderaan terbabit.

Lapangan terbang Hamburg telah dikosongkan sepenuhnya. - BERNAMA-dpa

Advertisement