Anda di sini

Lelaki disyaki curi kabel syarikat telekomunikasi berjaya ditahan

Advertisement
 Kabel TM yang disyaki dicuri oleh suspek (gambar kecil) berjaya dirampas dalam satu serbuan.
CURI: Kabel telekomunikasi yang disyaki dicuri oleh suspek (gambar kecil) berjaya dirampas dalam satu serbuan.

PAPAR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di sebuah rumah di Bongawan, di sini semalam.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, kira-kira jam 2 pagi semalam.  

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kabel syarikat telekomunikasi berkenaan di tepi jalan utama Papar - Bongawan, dipotong, pada 15 Oktober lalu.

Katanya, pasukan polis bergegas melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Bongawan yang dipercayai tempat kabel berkenaan disimpan.

“Setiba di lokasi, pasukan polis berjaya menahan suspek terbabit dan menemukan satu guni wayar telekomunikasi yang dipercayai dicuri.

“Turut ditemukan peralatan yang digunakan ketika melakukan jenayah iaitu gergaji besi, alat ragum, pemotong dan pisau,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan berkenaan di bawa ke IPD Papar untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau dan kini direman selama empat hari mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin berkata orang awam dinasihatkan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis dengan kadar segera di talian 088-912222.

"Orang awam diminta memaklumkan kepada balai polis berdekatan sekiranya ternampak mana-mana individu yang mencurigakan dan melakukan jenayah kecurian/khianat terhadap harta awam,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement